HIBURAN
Craig David bakal ubati rindu peminat 10 Nov ini

Craig David akan mengadakan konsert eksklusif Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur pada 10 November 2025 di Mega Star Arena. -Facebook T-Rex Studio
SETELAH lebih sedekad tidak membuat kemunculan di Malaysia, Raja R&B dan UK Garage Craig David bakal mengubati kerinduan peminat tempatan menerusi konsert eksklusif ‘Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur’ pada 10 Nov depan.
Ringkasan AI
- Craig David akan mengadakan konsert eksklusif Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur pada 10 November 2025 di Mega Star Arena, menandakan kemunculan semula beliau di Malaysia selepas lebih sedekad.
- Konsert ini menampilkan konsep TS5 yang menggabungkan vokal langsung dan set DJ, serta bertepatan dengan pelancaran album studio ke-9 beliau berjudul Commitment.
- Craig David telah menjual lebih 13 juta album, menerima pelbagai anugerah berprestij, dan dikurniakan gelaran MBE oleh Ratu Elizabeth II atas sumbangannya dalam muzik dan kebajikan.
Penganjurnya, T-Rex Studio dalam satu kenyataan memaklumkan konsert tersebut bakal menyaksikan penampilan konsep istimewa TS5, gabungan persembahan vokal langsung dan set DJ yang telah menjadikan David sebagai fenomena global sejak diperkenalkan pada 2012.
"TS5 yang bermula sebagai siaran radio dari apartmennya di Miami, kini telah menjelajah ke pentas-pentas berprestij di seluruh dunia seperti Ibiza, Dubai, London dan Tokyo. Kini buat kali pertama akan menemui peminat di Malaysia.
"Penonton boleh menjangkakan sebuah malam penuh tenaga dan dinamik, dengan rangkaian lagu hit Craig David yang merentasi lebih dua dekad seperti Fill Me In, 7 Days, Walking Away, What's Your Flava dan When The Bassline Drops," menurut kenyataan itu.
Lebih istimewa, kehadiran David di negara ini juga bertepatan dengan pelancaran album studionya yang kesembilan berjudul Commitment dilancarkan pada 8 Ogos lepas.
David mula meraih perhatian dunia melalui kolaborasinya bersama-sama Artful Dodger menerusi Re-Rewind, sebelum 'meletup' dengan single solo pertamanya Fill Me In sekali gus menjadikan beliau artis solo lelaki termuda yang pernah mencapai tangga pertama carta UK.
"Album debut Born To Do It (2000) terjual lebih tujuh juta unit di seluruh dunia, telah diiktiraf oleh MTV dan The Guardian sebagai satu daripada album terbaik sepanjang zaman. Sepanjang kerjaya, Craig David telah mencatat lebih 13 juta jualan album, menerima pelbagai anugerah berprestij seperti tiga Ivor Novello Awards, dua MTV Europe Music Awards dan 14 pencalonan BRIT Awards.
"Pada 2021, beliau turut dikurniakan gelaran MBE oleh Ratu Elizabeth II atas sumbangannya dalam bidang muzik dan kebajikan."
Peminat boleh mendapatkan tiket pada harga bermula RM288 hingga RM1,888 di myticketempire.com bermula hari ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami