HIBURAN

Dari Shah Alam ke Chennai, Yaadana ukir sejarah sertai audition mega Zee Tamil Junior

Umavathi Ramayah 13/12/2025 | 10:18 MYT
Yaadana Navaneethan merupakan satu-satunya peserta bukan sahaja dari Malaysia, malah juga dari Singapura. - Foto kredit Yaadana
KUALA LUMPUR: Anak kelahiran Shah Alam, Yaadana Navaneethan mengukir sejarah manis apabila terpilih untuk menyertai mega audition pertandingan nyanyian, Zee Tamil Junior di Chennai, India, sebuah platform berprestij yang melahirkan bakat baharu.


Ringkasan AI
  • Yaadana Navaneethan, anak kelahiran Shah Alam, terpilih menyertai mega audition Zee Tamil Junior di Chennai, India, menjadi satu-satunya peserta dari Malaysia dan Singapura.
  • Bakat Yaadana yang melalui sesi pemilihan mega audition itu mendapat pujian daripada juri kerana kebolehan vokal, keberanian, dan emosi yang disalutkan dalam persembahannya.
  • Kejayaan Yaadana melepasi peringkat saringan tersebut dianggap sebagai detik paling bermakna dalam hidupnya.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Zee Tamil Junior bukan sekadar pertandingan nyanyian, sebaliknya pentas impian ramai yang membuka laluan untuk menembusi industri muzik profesional.

Lebih membanggakan, remaja berusia 14 tahun itu merupakan satu-satunya peserta bukan sahaja dari Malaysia, malah juga dari Singapura.

Penyertaan itu membuktikan bakat muda dari Malaysia tidak kurang hebat tetapi mampu menyerlah dan bersaing setanding dengan rakan sebaya dari negara-negara lain.

Ketika sesi pemilihan itu, Yaadana berjaya memikat perhatian barisan juri, termasuk penyanyi terkenal Saindhavi, Srinivas dan Shweta Mohan, menerusi lagu Adiye Adiye daripada filem Kadal (2012).

Dalam ulasan mereka, juri memuji persembahan Yaadana yang disifatkan bukan sahaja kemas dari segi teknik vokal, malah sarat dengan emosi, satu kelebihan yang jarang dimiliki oleh penyanyi seusianya.

Tanpa latar belakang nyanyian formal, keupayaannya untuk berdiri dengan penuh keyakinan di hadapan tokoh muzik berpengalaman di pentas antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya menuntut keberanian yang luar biasa.

Sementara itu, Yaadana menyifatkan kejayaan melepasi peringkat saringan itu sebagai detik paling bermakna dalam hidupnya.

"Sebelum ini saya pernah beberapa kali menyertai pertandingan ini tetapi hanya sekadar berjaya melepasi pusingan awal, tetapi kali ini saya benar-benar bertekad.

"Saya berlatih hampir setiap hari, tanpa henti dan akhirnya berjaya melepasi semua peringkat saringan sehingga layak ke mega audition,” katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Sabtu.

Menurut Yaadana, tahun ini merupakan peluang terakhirnya berikutan had umur 14 tahun, yang mendorong dia berlatih bersungguh-sungguh.

Minat terhadap nyanyian, menurut remaja itu, bermula sejak usia dua tahun, namun selepas menyertai pertandingan Thirumurai di peringkat sekolah, kecenderungannya terhadap bidang tersebut semakin mendalam dan berkembang.

Sejak itu, dia aktif menyertai pelbagai pertandingan nyanyian dan berjaya meraih beberapa pencapaian membanggakan, termasuk menjuarai Pertandingan Thirumurai peringkat kebangsaan.

Selain lagu Tamil, Yaadana juga mahir menyanyikan lagu Melayu dan Inggeris.

Dia juga pernah muncul sebagai finalis Bintang Kecil RTM dan Kids Got Talent Malaysia, selain mencatat sejarah sebagai peserta termuda dalam program All Together Malaysia Now di Astro Ria.

Mengulas sokongan keluarga, Yaadana berkata bapanya merupakan sumber kekuatan utama yang sentiasa memberi dorongan.

"Ayah banyak berusaha lebih keras berbanding saya sendiri, termasuk membawa saya menyertai pertandingan dan bengkel nyanyian," katanya.

Dalam pada itu, Yaadana berharap perjalanan seninya dapat memberi inspirasi kepada bakat muda tempatan agar tidak mudah berputus asa walaupun berdepan kegagalan.












Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Siapakah Yaadana Navaneethan dan mengapa penyertaannya dalam Zee Tamil Junior begitu istimewa?
    A: Yaadana Navaneethan adalah seorang remaja berusia 14 tahun dari Shah Alam yang terpilih sebagai satu-satunya peserta dari Malaysia dan Singapura dalam mega audition Zee Tamil Junior di Chennai, India, menunjukkan bakatnya yang luar biasa.
  • Q: Mengapakah persembahan Yaadana mendapat pujian daripada juri dalam sesi pemilihan Zee Tamil Junior?
    A: Persembahan Yaadana disifatkan sebagai kemas dari segi teknik vokal, sarat dengan emosi, serta menunjukkan keberanian yang luar biasa, menarik perhatian juri seperti Saindhavi, Srinivas, dan Shweta Mohan.
  • Q: Apakah kejayaan terbesar Yaadana dalam perjalanan seninya?
    A: Kejayaan terbesar Yaadana adalah melepasi peringkat saringan Zee Tamil Junior, yang dianggapnya sebagai detik paling bermakna dalam hidupnya, menunjukkan keazamnya dalam bidang nyanyian.



#India #Zee Tamil Junior #anak tempatan #penyanyi