"Ditengking, dihalau pihak berkuasa..." Heliza cerita pengalaman terkandas di Gaza

Astro Awani
Julai 18, 2019 03:28 MYT
Heliza dan delegasi Malaysia melalui saat-saat yang sulit ketika ditahan tentera Mesir di Gaza. - Gambar fail
PENYANYI terkenal dan aktivisi kemanusiaan, Heliza Helmi berhadapan dengan cabaran perit dalam usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa di Gaza.
Paling mendebarkan ialah dia beserta rombongan delegasi Malaysia yang menjalankan misi #wakeupforgaza ditahan tentera Mesir.
Dalam entri di laman Instagramnya, Heliza, 33, berkongsi pengalaman terkandas berjam-jam semalam di Rafah sebelum diarahkan berpatah balik semula ke Gaza.
Heliza dan rombongan berkenaan terpaksa bermalam di Gaza sebelum mencuba lagi untuk keluar pagi ini.
Sudahlah ditahan pihak berkuasa, cuacana panas sehingga mencecah angka 50 darjah Celcius di bumi anbiya itu juga benar-benar mencabarnya dan rakan-rakan aktivis.
Apa yang menyentuh emosi juga ialah, dalam keadaan darurat itu, dia bersama delegasi lain terpaksa tidur beramai-ramai di Rafah dalam keadaan sesak dan tiada bekalan makanan serta minuman.
"Memang langsung tak ada kedai. Makna kata, takda makanan, tak ada minuman," tulis Heliza.
Selain diberi layanan yang kasar oleh pihak berkuasa di sana, selama berjam-jam itu mereka juga terputus hubungan dengan keluarga di tanah air kerana tiada jalinan internet.
"Masa nak bagi pasport, kena tengking dengan pihak berkuasa, beratur panjang-panjang, then kena halau, then kena beratur lagi kena marah lagi. Sistem suka hati mereka namanya," cerita Heliza lagi.
Lantaran tidak jelas bagaimana situasi yang akan dihadapi, Heliza dalam entri itu turut menulis nota memohon maaf kepada semua pihak.
“Kami tak tahu bila kami akan pulang, kepada semua saya mohon maaf salah silap saya kepada semua”, tulis Heliza lagi.
Heliza bersama anggota rombongan berangkat menuju Gaza pada 10 Julai lalu.
#Ditengking dihalau pihak berkuasa #Gaza #Heliza cerita pengalaman terkandas di Gaza #Heliza Helmi #Palestin #Rafah