Dokumentari "Itui suli-suli Bajau!" angkat kisah komuniti Bajau Laut Sabah

Filem ini mengikuti perjalanan hidup tiga anak muda di Pulau Omadal dengan memaparkan kehidupan masyarakat serta realiti yang dihadapi komuniti Bajau Laut. - Foto Fat Bidin Media
PETALING JAYA: Sebuah dokumentari cereka baharu berjudul Jom Kita Ke Laut: Itui suli-suli Bajau! mengetengahkan realiti kehidupan, harapan dan cabaran komuniti Bajau Laut di Pulau Omadal, Sabah, menerusi sudut pandang anak muda komuniti itu sendiri.
Filem yang diarahkan oleh Zan Azlee di bawah syarikat produksi Fat Bidin, merupakan hasil daripada siri bengkel perfileman yang dijalankan pada awal 2025 dengan kerjasama Iskul Sama diLaut Omadal, sebuah pusat pembelajaran alternatif yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pulau berkenaan.
Daripada bengkel tersebut, tiga peserta muda, Bilkuin, Shima dan Didi, dipilih sebagai pengarah junior dan dibimbing oleh kru filem profesional untuk menghasilkan sebuah dokumentari cereka mengenai kehidupan mereka sendiri.
Filem ini mengikuti perjalanan hidup ketiga-tiga mereka, sekali gus membuka jendela kepada kehidupan seharian masyarakat di pulau itu serta realiti yang dihadapi oleh komuniti Bajau Laut.
Pulau Omadal didiami majoritinya oleh komuniti Bajau Laut, yang sebahagian besar daripada mereka tidak mempunyai status kewarganegaraan walaupun telah menetap di perairan Malaysia sejak bergenerasi lamanya.
Menurut Zan Azlee, cabaran terbesar dalam pembikinan filem ini adalah memastikan keaslian penceritaan.
“Kami bukan orang Sabah, bukan dari Pulau Omadal, bukan Bajau Laut dan bukan pelaut. Kami tidak mahu projek ini dilihat sebagai ‘orang KL datang tolong’. Kami mahu membantu mereka menceritakan kisah mereka sendiri," kata Zan Azlee ketika ditemui pada malam tayangan perdana Jom Kita Ke Laut: Itui suli-suli Bajau!, baru-baru ini.

Zan Azlee (tiga dari kiri) bersama pasukan produksi Jom Kita Ke Laut: Itui suli-suli Bajau! - Foto Astro AWANI
Bagi mencapai matlamat tersebut, bengkel yang dianjurkan bukan sekadar bertujuan mengajar kemahiran teknikal, tetapi juga menjadi ruang untuk mendengar suara dan perspektif anak-anak muda di pulau itu. Mereka sendiri menentukan isu yang ingin diketengahkan serta hala tuju penceritaan watak masing-masing.
Pendekatan kolaboratif itu diteruskan dalam proses penyuntingan, di mana ketiga-tiga pengarah junior terlibat secara aktif dengan memberikan maklum balas terhadap draf suntingan sepanjang proses pascaproduksi.
Selain keaslian, pasukan produksi juga sepakat untuk menampilkan naratif yang bersifat positif dengan tidak hanya menumpukan kepada kesukaran hidup, sebaliknya mengangkat nilai harapan, kebahagiaan dan cita-cita dalam kalangan belia Bajau Laut.
“Walaupun mereka tidak dapat ke sekolah formal, mereka tetap ada cita-cita. Mereka tahu apa yang mereka mahu dalam hidup. Mungkin bukan impian besar seperti menjadi CEO syarikat, tetapi mereka mahukan pendidikan dan kehidupan yang lebih baik,” katanya lagi.
Tambah Zan Azlee, dokumentari ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kewujudan komuniti di Malaysia yang masih tidak berdaftar sebagai warganegara, sekali gus menafikan mereka hak asas seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Dokumentari ini juga diharap menjadi platform seruan untuk pengiktirafan, empati dan tindakan.
“Tanpa dokumen, mereka tidak boleh ke sekolah, sukar mendapatkan pekerjaan dan perlu membayar kos rawatan yang sangat tinggi di hospital.
“Tetapi di sebalik kesukaran, mereka masih menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia dan mahu menyumbang kepada negara.
“Filem ini adalah satu peringatan bahawa ada masyarakat di negara ini yang hidup dalam keadaan sebegini, dan kita semua mempunyai tanggungjawab untuk membantu,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


