Dua bintang tidak pakai hitam ke Golden Globes beri penjelasan

Pritha Manivannan
Januari 9, 2018 07:00 MYT
Blanca Blanco (kiri) memakai gaun merah rekaan Atria Clothing dan Barbara Meier memakai gaun bertemakan flora.
RAMAI bintang Hollywood yang menghadiri majlis anugerah Golden Globe ke-75 Ahad lalu berpakaian hitam sebagai tanda solidariti kepada kempen #MeToo dan #TimesUp yang mengutuk serangan dan gangguan seksual.
Bagaimanapun, dua wanita menjadi tumpuan ramai apabila mereka tidak memakai gaun berwarna hitam.
Antaranya ialah aktres Blanca Blanco yang memakai gaun merah rekaan Atria Clothing.
Walaupun dikecam netizen di media sosial, Blanca memberi penerangan kepada FoxNews atas pilihan warnanya.
"Saya suka warna merah. Pilihan warna merah tidak bermaksud saya menentang kempen ini. Saya sentiasa menyokong pelakon yang berani menunjukkan solidariti menentang penderaan dan gangguan seksual melalui tindakan dan pilihan gaya fesyen mereka.
"Saya teruja dengan pergerakkan #TimesUp, perubahan diperlukan," kata pelakon filem 'Beverly Hills Christmas' dan 'Awakened' itu.
Selain Blanca, model Jerman Barbara Meier juga tidak berpakaian hitam sebaliknya gaun bertemakan flora pelbagai warna.
Dalam pos yang dimuat naik di laman instagramnya, Barbara menjelaskan, "Saya rasa ini merupakan satu inisiatif yang sangat penting. Bagaimanapun saya pilih untuk memakai baju yang pelbagai warna malam ini.
"Jika kita ingin Golden Globes ini ditujukan kepada wanita yang berani mempertahankan hak mereka, ia cara yang salah untuk menghadkan pemakaian wanita dan memberikan orang lain peluang untuk merampas kegembiraan dalam menunjukkan personaliti melalui fesyen."
Barbara merupakan model yang memenangi musim kedua 'Germany's Next Top Model'.
#Barbara Meier #Blanca Blanco #filem #Germany #Golden Globe 2018 #Hollywood #media sosial #model #wanita