HIBURAN
Dua tahun berehat, Niena Baharun asah semula bakat lakonan

Niena berkongsi dirinya kini turut kembali mengikuti kelas lakonan sebagai persediaan mental dan emosi demi menjayakan watak yang menuntut penghayatan mendalam. - Foto Instagram/Niena Baharun
KUALA LUMPUR: Lama menyepi dari dunia seni, pelakon jelita Datin Niena Baharun kini kembali menyusun langkah ke set penggambaran dengan semangat baharu dalam naskhah yang lebih mencabar di layar perak.
Bakal membintangi sebuah filem aksi tidak lama lagi, Niena, 32, berkongsi dirinya kini turut kembali mengikuti kelas lakonan sebagai persediaan mental dan emosi demi menjayakan watak yang menuntut penghayatan mendalam.
"Orang nampak (berlakon) mungkin macam senang, tetapi sebenarnya susah. Tambahan pula ini sebuah filem, jadi saya memang tengah masuk kelas lakonan supaya watak yang dibawakan itu dapat dijiwai sepenuhnya," katanya ketika ditemui selepas Malaysia Bridal Fashion Week 2025 anjuran The Gown Atelier, di sini semalam.
Kongsi Niena atau nama sebenarnya Amaniena Kamarul Baharun, tempoh rehat dari dunia glamor itu diambil atas komitmen sebagai ibu kepada dua anak kecil yang sedang membesar, selain mahu memberi fokus penuh kepada keluarga.Keputusan untuk kembali ke set penggambaran bukan mudah, namun dibuat selepas tertarik dengan jalan cerita filem berkenaan selain belum pernah membintangi karya bergenre aksi.
"Saya 50-50 untuk terima tawaran ini kerana perlu pertimbangkan masa dan keluarga, tetapi apabila difikirkan semula, filem ini hanya ambil masa penggambaran yang lebih singkat berbanding drama bersiri. Watak yang ditawarkan juga berlainan daripada apa yang pernah saya bawa sebelum ini," katanya.
Berkongsi lanjut, Niena berkata beliau turut memberi perhatian kepada kecergasan diri selari dengan usianya yang semakin meningkat, dengan mengikuti kelas pilates sekurang-kuranya tiga kali seminggu.
"Sebelum ini saya tak pernah 'workout', tetapi bila dah cuba pilates saya jadi suka sebab pilates tidak membina otot, cuma fokus pada 'body workout'," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami