HIBURAN

Duet spontan Siti Nurhaliza, Afgan di Festival Pestapora 2025 buat ribuan terpukau

Astro Awani 07/09/2025 | 09:51 MYT
Afgan (kanan) ketika berduet secara spontan dengan Siti pada Festival Pestapora 2025. -X @SeJakarta_id
BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencuri perhatian ribuan penonton Festival Pestapora 2025 di Jakarta apabila secara spontan mengajak penyanyi Indonesia, Afgan, untuk berduet di atas pentas dalam lagu ikonik “Bukan Cinta Biasa”.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Siti Nurhaliza mencuri perhatian di Festival Pestapora 2025 dengan penampilan istimewa dan lagu-lagu klasik.
  • Beliau secara spontan mengajak Afgan berduet dalam lagu -Bukan Cinta Biasa-, mencetuskan momen emosional dan sorakan gemuruh penonton.
  • Duet tersebut menjadi sorotan utama festival dan simbol perpaduan budaya Malaysia-Indonesia melalui muzik.


Penampilan Siti Nurhaliza di hari ketiga festival muzik tahunan yang berlangsung di JIExpo Kemayoran itu sememangnya dinanti-nantikan.

Beliau membuka persembahan dengan lagu-lagu klasik seperti “Cindai”, “Purnama Merindu”, dan “Wajah Kekasih”, sebelum membawakan “Bukan Cinta Biasa” yang mendapat sorakan gemuruh penonton.

Momen paling mencuri tumpuan berlaku ketika Siti menyedari kehadiran Afgan di kawasan media pit.

Tanpa skrip atau latihan, beliau menghulurkan tangan dan berkata, “Ayo, Afgan,” mengundang sorakan dan tepukan dari penonton yang memenuhi ruang festival.

Afgan, yang pada awalnya kelihatan terkejut, segera naik ke pentas dan menyanyikan bahagian korus lagu tersebut bersama Siti.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Duet spontan itu berlangsung penuh kehangatan, mencipta suasana emosional yang menyentuh hati peminat kedua-dua negara.

“Saya sebenarnya kangen (rindu) sama kalian. Impian saya untuk hiburkan peminat di Indonesia akhirnya tercapai. Saya cintakan anda semua.

“Sepanjang menjadi penyanyi, saya tidak hanya menerima sokongan peminat, malah rakan-rakan artis dari Indonesia membuat saya rasa dihargai," ujar Siti kepada penonton Indonesia.

Beliau turut menyampaikan penghargaan atas sokongan peminat dan penganjur Pestapora yang membolehkannya kembali ke pentas Indonesia selepas beberapa tahun.

Siti menyifatkan kehadirannya di festival muzik popular Indonesia, Pestapora 2025 sebagai peluang untuk menyampaikan salam serta sokongan rakyat Malaysia kepada Indonesia.

“Saya ingin mengingatkan bahawa muzik selalu menyatukan kita sejak hari pertama. Kita sama-sama saling menjaga. Saya bawakan pelukan hangat rakyat Malaysia untuk anda semua,” tambahnya.

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata demikian susulan beberapa siri demonstrasi dan ketegangan yang berlaku di negara jiran itu baru-baru ini.

Dalam persembahan berdurasi satu jam itu, Siti menyanyikan 11 lagu, termasuk karya yang melonjakkan namanya di pasaran muzik Indonesia, Betapa Aku Cinta Padamu.

Festival Pestapora 2025 menampilkan ratusan artis dari pelbagai genre dan negara, namun penampilan Siti Nurhaliza dan momen duet bersama Afgan menjadi antara sorotan utama yang paling banyak dikongsi di media sosial dan platform video seperti YouTube dan TikTok.









#Siti Nurhaliza #Afgan #Festival Pestapora 2025 #duet spontan #Bukan Cinta Biasa