HIBURAN

Earth, Wind & Fire Experience by Al Mckay gegarkan pentas RWMF malam ini

Syafik Shukri Jalil 21/06/2025 | 07:10 MYT
Earth, Wind & Fire Experience by Al Mckay bakal menyerikan acara penutup untuk malam kedua di pentas utama RWMF malam ini.
KUCHING: Kemeriahan pentas Rainforest World Music Festival (RWMF) edisi 2025 akan diserikan dengan kemunculan Earth, Wind & Fire Experience by Al Mckay, malam ini.


Ringkasan AI
  • Earth, Wind & Fire Experience by Al McKay akan menjadi kemuncak malam kedua Rainforest World Music Festival (RWMF) 2025, bersama artis antarabangsa lain seperti Seppuku Pistols, Kulaiwi, Rob Ruha dan Kuntaw Mindanao.
  • Persembahan tempatan termasuk Naungan, Mathew Ngau Jau with Lan E Tuyang dan Buddha Beat ft Sinaran Collective turut memeriahkan pentas RWMF yang berlangsung dalam suasana hutan hujan tropika Borneo.
  • RWMF 2025 menekankan kelestarian alam sekitar dengan melarang botol plastik sekali guna, selari dengan usaha memupuk kesedaran hijau dalam kalangan pengunjung festival.


Kumpulan funk dan soul dari Amerika Syarikat diketuai oleh gitaris legenda EWF, Al McKay itu popular dengan lagu-lagu seperti September, Let’s Groove, Boogie Wonderland dan Sing a Song.

Pemenang Anugerah Grammy sebanyak enam kali ini bakal menyerikan acara penutup untuk malam kedua di pentas utama RWMF yang dikelilingi kehijauan hutan hujan tropika Borneo.

Selain Earth, Wind & Fire Experience by Al Mckay, RWMF malam ini akan turut menampilkan persembahan beberapa artis antarabangsa dan pemuzik tempatan yang lain.

Ia termasuk Seppuku Pistols dari Jepun, Kulaiwi (Hawaii), Rob Ruha (New Zealand) dan Kuntaw Mindanao dari Filipina.

Manakala tiga persembahan dari Malaysia akan dibarisi oleh Naungan yang akan membuka pentas persembahan pada jam 6.15 petang ini.

Selain itu, pentas RWMF akan diwarnai dengan alunan muzik dan persembahan daripada Mathew Ngau Jau with Lan E Tuyang serta Buddha Beat ft Sinaran Collective.

Tiket RWMF 2025 boleh didapati secara dalam talian di laman rasmi RWMF dan di‭ ticket2u.com.my/rainforest ‬dengan pelbagai pakej termasuk pas harian dan tiket untuk tiga hari.

RWMF mula dianjurkan pada 1998 dan sejak itu terus berkembang menjadi antara festival muzik dunia yang paling dinanti-nantikan di rantau Asia Pasifik, menarik ribuan pengunjung setiap tahun.

Selain mempromosi budaya dan muzik, RWMF turut bersama dalam usaha mencapai matlamat kelestarian bagi memupuk tanggungjawab bersama terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Untuk itu, festival muzik yang memasuki usia 28 tahun ini telah mengumumkan bahawa botol minuman plastik tidak akan dibenarkan dibawa masuk ke kawasan festival.

Ia sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan memupuk tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Menurut vokalis Earth, Wind & Fire Experience by Al Mckay, Tim Owens, mereka sangat teruja untuk mempersembahkan muzik mereka di RWMF edisi kali ini.

“Sungguh teruja untuk berada di sini, saya benar-benar dapat merasai semangat festival ini, semangat One Sound, One World.

“Saya dapat merasakan muzik yang kami mainkan amat serasi dengan tema ini. Lagu-lagu dan muzik kami membawa mesej tentang cinta, spiritual, kebersamaan, dan perkara-perkara yang perlu kita lakukan untuk menjalani kehidupan malah menyentuh soal kehidupan selepas mati, bergantung kepada kepercayaan masing-masing.

“Muzik itu sendiri membawa konsep yang sama, kerana tiada satu bunyi sahaja dalam muzik, ia menggabungkan unsur jazz, fun, disco, R&B anda boleh temui pelbagai elemen muzik di dalamnya,” katanya semasa Sidang Media bersama Earth, Wind & Fire Experience by Al Mckay di sini, pada Sabtu.




#RWMF #Rainforest World Music Festival #Al Mckay #Sarawak