HIBURAN

Eda Ezrin masih trauma, mohon sokongan selepas dibebaskan dari Penjara Narathiwat

Astro Awani 14/09/2025 | 07:30 MYT
Eda ketika ditemui di majlis kesyukuran di kediaman keluarganya malam tadi. - Foto Astro AWANI
KOTA BHARU: Selepas lebih sebulan dibebaskan dari Penjara Narathiwat, penyanyi dikir moden Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Eda Ezrin, mengakui masih dihantui trauma akibat insiden penahanannya sembilan bulan lalu.


Ringkasan AI
  • Eda Ezrin masih trauma selepas dibebaskan dari Penjara Narathiwat, dan memohon masyarakat berhenti menghukum serta memberikan sokongan moral kepadanya.
  • Rezekinya semakin bertambah dengan pelbagai tawaran termasuk promosi produk dan persembahan nyanyian, selain lagu Bae Soba Bae memenangi Lagu Terbaik Kategori Etnik di AIM24.
  • Eda dan lima individu lain dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat selepas ditahan sembilan bulan atas tuduhan memiliki pil yaba, dan kini Eda bertekad meneruskan kerjaya nyanyiannya.


Menurut Eda, kesan trauma itu kadangkala membuatkan dirinya berasa kosong dan sukar untuk bergaul seperti biasa.

“Trauma tu ada lagi… sebab jadi macam kita termenung, fikir tapi tak tahu apa. Nak gaul pun takut.

"Eda rasa sedih tapi Alhamdulillah masih ada peminat yang support,” katanya ketika ditemui di majlis kesyukuran di kediaman keluarganya malam tadi.

Eda turut merayu agar masyarakat berhenti menghukum dan melemparkan komen negatif terhadap dirinya, memandangkan kes tersebut telah selesai sepenuhnya.

“Kalau ada komen negatif, minta berhentilah… Eda perlukan sokongan dari semua,” tambahnya.

Rezeki Bertambah Selepas Dibebaskan

Sejak dibebaskan, Eda berkata rezekinya semakin bertambah dengan pelbagai tawaran termasuk memuat naik kandungan produk dan makanan, serta undangan menyanyi dan membuat persembahan.

Dalam perkembangan terbaharu, lagu popularnya Bae Soba Bae telah berjaya dinobatkan sebagai Lagu Terbaik Kategori Etnik di Anugerah Industri Muzik AIM24.

Sebelum ini, lagu Cinta Setandan Pisang nyanyiannya bersama Den Manjo turut melonjakkan namanya dalam industri muzik tanah air.

Lebih sebulan dibebaskan, Eda Ezrin masih trauma


Insiden Penahanan dan Pembebasan

Eda Ezrin bersama suami, Mohd Affendi Ahmad, 35, dan empat rakannya telah menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan di Narathiwat selepas ditahan oleh sepasukan polis di sebuah hotel di Sungai Golok pada 1 November tahun lalu.

Mereka dituduh memiliki 6,059 pil yaba, namun pada 6 Mac lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan kesemua mereka daripada tuduhan tersebut.

Selepas selesai proses rayuan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa raya, mereka pulang ke Kelantan pada 6 Ogos lalu.

Teruskan Kerjaya Seni

Eda menegaskan bahawa bidang nyanyian adalah kerjaya yang akan diteruskannya, selain terbuka menerima pelbagai tawaran lain yang sesuai.

“Nyanyian adalah jiwa Eda. Eda akan teruskan dan harap semua terus beri sokongan,” katanya lagi.




#Eda Ezrin #masih trauma #mohon sokongan #Penjara Narathiwat