ENTERTAINMENT
Edry KRU beli semula album sendiri
Edry bertindak memberi tiga dari empat album KRU yang ditemuinya. - Sinar harian
KEBIASAANNYA, peminat yang berusaha membeli album artis kegemaran mereka untuk dijadikan koleksi, tetapi lain pula ceritanya dengan penyanyi dan komposer popular, Edry Abd Halim.
Ringkasan AI
- Penemuan Semula Album Lama KRU: Edry Abd Halim berkongsi keterujaan selepas menemui kembali album KRU yang tidak lagi dicetak, seperti reKRUed (1993), Awas! (1994), dan Krumania (1997), semasa berkunjung ke sebuah kedai vintaj di Amcorp Mall.
- Membeli Album Sebagai Kenangan: Edry membuat keputusan untuk membeli album tersebut dan membawanya pulang ke Manchester, England sebagai tanda kenangan, kerana album KRU mempunyai nilai sentimental yang tidak boleh diganti dengan wang.
- Album Tidak Dibeli & Sejarah KRU: Edry memilih untuk tidak membeli album Ooh! La! La! (1996) kerana kulit album telah diconteng. Sepanjang 33 tahun, KRU telah menghasilkan 14 album studio dan tiga album kompilasi, termasuk album Kaset yang baru dilancarkan dalam konsert GenKRU.
Masakan tidak, selebriti berusia 49 tahun itu berkongsi keterujaan apabila terjumpa semula album KRU iaitu reKRUed yang dilancarkan pada tahun 1993, Awas! (1994) dan album kompilasi Krumania (1997).
Memandangkan album-album tersebut sudah tidak lagi dicetak, Edry membuat keputusan untuk membeli album tersebut dan akan membawa pulang ke Manchester, England sebagai tanda kenangan.

"KRU beli kaset lagu sendiri. Berjalan-jalan di Amcorp Mall, terjumpa kedai vintaj yang jual album lama KRU.
"Saya tahu sudah tidak ada lagi kaset (album) yang akan dicetak, jadi saya beli balik untuk disimpan di Manchester buat kenangan," kongsinya.
Edry berkongsi perkara itu menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya.

Tambah bapa kepada empat orang cahaya mata itu, album tersebut memberi kenangan yang tidak boleh ditukar ganti dengan dengan duit.
"Klasik album Awas! Masih ada slip borang KRU posse. Kenangan yang luar biasa.
"Bila buat persembahan duit boleh cari, tetapi kenangan tidak boleh diganti," tulisnya.

Dalam masa sama, Edry membuat keputusan untuk tidak membeli album Ooh! La! La! yang diterbitkan pada tahun 1996 kerana kulit album tersebut telah diconteng.
"Ada satu copy album 'Ooh La La' saya tidak beli kerana pemilik asal telah menconteng nama dia pada kulit album. Memang zaman dulu semua kena letak nama pakai marker atas barang masing-masing.
"Tidak boleh percaya kaset-kaset ini, sudah (berusia) lebih 30 tahun," ujarnya lagi.
Sekadar info, sepanjang 33 tahun berada dalam industri seni, KRU mempunyai 14 album studio termasuk album Kaset yang baharu sahaja dilancarkan pada konsert GenKRU baru-baru ini dan tiga album kompilasi. -- Sinar Harian