HIBURAN
Ejen Ali 2 raih sambutan hangat di Indonesia, tayang di 240 pawagam
Dalam tempoh lima hari tayangan, filem animasi tempatan itu berjaya menarik lebih 174,000 penonton merentasi pelbagai lapisan umur, khususnya kanak-kanak. - Foto Ejen Ali 2
KUALA LUMPUR: Filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) terus meraih sambutan hangat di Indonesia apabila jumlah pawagam yang menayangkannya meningkat kepada 240 buah berbanding hanya 70 ketika mula ditayangkan pada 27 Jun lepas.
Dalam tempoh lima hari tayangan, filem animasi tempatan itu berjaya menarik lebih 174,000 penonton merentasi pelbagai lapisan umur, khususnya kanak-kanak.
Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation merangkap pengarah EATM2 Usamah Zaid Yasin berkata pihaknya tidak menyangka sambutan luar biasa itu memandangkan pasaran Indonesia tidak mempunyai sistem 'wajib tayang' seperti di Malaysia.
"Kami masuk pada waktu yang sangat sesuai, iaitu musim cuti sekolah di sana, disokong pula oleh kerjasama erat dengan pengedar, agensi komunikasi serta rakan produksi tempatan yang memahami pasaran mereka.
"Kami juga sedar sejak awal bahawa untuk berjaya di Indonesia, strategi kemasukan perlu dirancang dengan teliti. Justeru, kami manfaatkan sepenuhnya kandungan digital Ejen Ali yang telah lama bertapak di sana, selain menjalinkan kerjasama tempatan yang mengukuhkan lagi penerimaan penonton," katanya kepada Bernama.
Beliau menjangkakan jumlah penonton di republik itu akan terus meningkat berdasarkan trend semasa.
Menurut Usamah, kewujudan peminat setia Ejen Ali di Indonesia menerusi platform digital seperti YouTube dan media sosial turut menyumbang kepada kejayaan tersebut.
"Daripada data yang kami kumpul sejak beberapa tahun lepas, memang sudah wujud kelompok penonton setia dari Indonesia yang mengikuti siri animasi Ejen Ali. Jadi, apabila filem ini diumumkan, ramai yang sudah tahu dan menantinya.
"Kami juga menjalinkan kolaborasi dengan studio animasi Indonesia untuk menghasilkan sebahagian babak, selain bekerjasama dengan kumpulan muzik Nidji dari negara itu dalam pembikinan runut bunyi. Elemen-elemen ini mencetuskan rasa keterikatan dalam kalangan penonton tempatan," katanya.
Tambah beliau, selepas kejayaan di Indonesia, filem tersebut dijangka akan ditayangkan di beberapa negara lain termasuk Kemboja, selain menerima sambutan menggalakkan di Singapura dan Brunei, baru-baru ini.
Mengulas cabaran menembusi pasaran luar, Usamah berkata pemilihan rakan strategik yang tepat amat penting dan kali ini, mereka menerima sokongan yang lebih kukuh berbanding tayangan filem pertama sebelum ini.
"Dulu skala tayangan kecil dan kerjasama tidak begitu kuat. Tapi kali ini, Media Prima dan rakan-rakan di Indonesia banyak membantu dari segi promosi dan pengedaran. Kami juga melibatkan agensi komunikasi yang memahami cara kerja media dan citarasa penonton di sana.
"Ini sangat membantu meningkatkan keterlihatan dan kehadiran filem kami di pawagam-pawagam Indonesia," katanya.
Beliau berharap kejayaan ini membuka lebih banyak peluang kepada penerbit tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus memperkukuh industri kreatif Malaysia memandangkan negara ini mempunyai ramai bakat hebat dalam pelbagai bidang.
Sebelum ini, media melaporkan filem EATM2 akan memasuki pasaran beberapa negara Asia Tenggara lain secara berperingkat termasuk Singapura, Indonesia dan Kemboja.
Filem sekuel animasi popular terbitan WAU Animation dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) itu setakat ini telah mencatat kutipan hampir RM60 juta.
-- BERNAMA