ENTERTAINMENT
ERA meriahkan Kenduri Raya bersama pendengar setia, rakan industri muzik
Sokongan daripada pendengar dan rakan industri amat penting dalam memastikan ERA kekal relevan dan terus menjadi pilihan utama pendengar di seluruh negara. - Foto ERA
KUALA LUMPUR: Stesen radio popular ERA terus mengukuhkan hubungan dengan para pendengar serta rakan industri muzik menerusi penganjuran majlis rumah terbuka 'Kenduri Raya ERA' yang berlangsung meriah di Rumah Tamu Datin Halijah, Kuala Lumpur.
Majlis eksklusif itu menghimpunkan kira-kira 20 pendengar terpilih yang dipilih menerusi satu peraduan kreatif di laman rasmi ERA, selain kehadiran wakil-wakil dari pelbagai syarikat rakaman muzik tanah air.
Ia bertujuan menghargai sokongan padu yang diberikan terhadap kandungan, acara dan program ERA sepanjang tahun.
Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, sokongan daripada pendengar dan rakan industri amat penting dalam memastikan ERA kekal relevan dan terus menjadi pilihan utama pendengar di seluruh negara.
“Pendengar yang hadir ke Kenduri Raya ini dipilih melalui satu peraduan istimewa di mana mereka perlu mengisi maklumat peribadi dan mencipta slogan paling kreatif. Kami sangat tersentuh dengan komitmen dan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh mereka,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa hubungan erat dengan syarikat rakaman muzik akan terus diperkukuh demi memastikan lagu-lagu yang diputarkan di ERA selari dengan citarasa pendengar masa kini.
“Kami amat menghargai kehadiran rakan-rakan dari label muzik. Mereka bukan sahaja memainkan peranan penting dalam memperkenalkan bakat baharu, tetapi turut menjadi antara tulang belakang kepada perkembangan industri muzik tanah air. ERA komited untuk terus menjadi platform utama dalam mempromosikan karya-karya tempatan,” tambahnya.
ERA turut berhasrat meneruskan tradisi Kenduri Raya ini pada masa akan datang sebagai tanda penghargaan buat mereka yang sentiasa menyokong perjuangan ERA dalam dunia penyiaran muzik radio.