Everest memberi penghormatan kepada keazaman, ketabahan dan keberanian pendaki-pendaki gunung yang mempertaruhkan nyawa untk menakluki puncak gunung tertinggi dunia.

Berdasarkan kisah benar tragis ekspedisi pendakian Gunung Everest pada tahun 1996, Everest mampu menjawab mengapa seseorang itu sanggup bergadai nyawa menghadapi ketidaktentuan dan bencana di altitud tinggi untuk mencapai impian sampai ke puncak.

everest
Josh Brolin memainkan watak Beck Weathers, pendaki yang mempunyai lebih sedekad pengalaman, sedia untuk menakluk Everest, gunung tertinggi dunia. - Gambar: United International Pictures.

Jika anda bukan seorang pendaki gunung, filem ini bersifat 'educational'.

Walaupun puncak Everest pernah ditakluk oleh Edmund Hillary dalam tahun 1953, pendakian gunung merupakan industri yang dikomersilkan sejak tahun 1996 dan puncak ini mula sesak dengan pendaki gunung bersemangat untuk menawannya.

Pengarah kelahiran Iceland, Baltasar Kormakur telah berjaya mengabadikan keindahan dan keganasan yang menanti di landskap Everest dengan gambaran terperinci pendaki serta penceritaan yang ringkas dan berimpak.

Penulisnya, William Nicholson dan Simon Beaufoy berjaya membina watak-watak utama dan pembantu dengan bijak.

Walaupun nama-nama besar seperti Robin Wright, Sam Worthington dan Keira Knightley hanya mendokong watak pembantu dan muncul dalam beberapa babak sahaja, impak watak mereka tidak dapat dilupakan.

everest
Jason Clarke, sebagai Rob Hall, ketua malim dari ekspedisi Consultant Adventures yang bergadai nyawa demi merealisasikan impian pendaki-pendaki Gunung Everest. -
Gambar: United International Pictures.

Jason Clarke memainkan watak Rob Hall, salah seorang daripada tiga malim gunung serta ketua untuk Consultants Adventure. Hall mempunyai lapan orang pelanggan ataupun pendaki antaranya Beck Weathers, pendaki berpengalaman dari Texas yang dilakonkan oleh Josh Brolin dan Doug Hansen.

John Hawkes pula berperanan sebagai warga emas yang mempunyai misi untuk membuktikan bahawa mana-mana lelaki atau perempuan boleh mencapai apa saja impian.

Lakonan pelakon berbakat besar dari Asia, lakonan Naoko Mori sebagai Yasuko Namba yang mendambakan Everest sebagai kemuncak cita-citanya sebagai pendaki tidak mengecewakan. Sinonim dengan komuniti pendaki yang kebiasaannya terdiri dari masyarakat berbilang bangsa, kehadiran Mori dalam filem ini cukup dinanti-nantikan.

Di kem, mereka bertemu dengan ekspidisi Mountain Madness yang mewakili satu lagi kumpulan pendaki gunung yang turut ke puncak pada hari yang sama. Jake Gyllenhaal memainkan watak ketua malim, Scott Fischer untuk kumpulan ini.
everestJake Gyllenhaal memainkan watak ketua malim Mountain Madness yang berganding tenaga bersama Adventure Consultants, memastikan pendaki-pendaki Gunung Everest selamat ke puncak dan selamat kembali. Gambar: United International Pictures.

Senario Everest yang sesak dengan pendaki gunung, tidak menghalang kedua Consultants Adventure dan Mountain Madness berkumpul dan bergabung tenaga untuk mendaki Everest bersama-sama.

Pendakian mereka ke puncak merupakan pengalaman ngeri apabila adventur mereka didampingi angin ribut serta persekitaran beraltitud tinggi yang secara saintifiknya tidak sesuai untuk manusia. Obsesi sepanjang hayat mereka, kini, bertukar menjadi satu perjuangan untuk terus hidup.

Bagi saya, wanita dalam filem ini ialah bintang sebenar. Watak Keira sebagai isteri Rob yang sedang hamil bernama Jen, walaupun adegannya melihat beliau hanya bertutur dalam telefon, lakonannya cukup menyerlah.

Begitu juga dengan Helen Wilton, pengurus kem, yang dimainkan oleh Emily Watson. Helen adalah orang yang memastikan segala-galanya teratur dalam memastikan bahawa setiap pendaki berhubung pada setiap waktu dan status mereka dikemaskini melalui alat perhubungan 'walkie talkie' ketika pemanjatan dilakukan.

Everest
Keira Knightley memainkan watak Jen, isteri hamil yang tabah menghadapi sayu pilu bersuamikan malim gunung yang berdedikasi, Rob Hall, lakonan Jason Clarke.
Gambar: United Pictures International.

Everest juga berkisarkan persaingan perniagaan industri mendaki di mana kedua-dua ekspedisi pada masa itu sangat dahagakan publisiti.

Namun, filem ini langsung tidak menyentuh siapa yang patut dipertanggungjawabkan ke atas nyawa-nyawa yang terkorban.

Yang ada hanyalah Gunung Everest yang memukau dengan keindahannya yang simbolik. Namun, di sebalik kecantikkannya ialah suatu cabaran yang lebih tinggi dan adakalanya kejam.

Pelakon: Jason Clarke, Jake Gyllenhaal, John Hawkes, Emily Watson, Keira Knightley, Sam Worthington.

Pengarah: Baltasar Kormákur.

Penulis: William Nicholson and Simon Beaufoy.

Tarikh tayangan: 24 September 2015 (United International Pictures)

Tonton trailer Everest di sini: