ENTERTAINMENT

Fahrin Ahmad kongsi berita sedih kehilangan ayah tercinta

Gempak 25/05/2025 | 10:00 MYT
Fahrin memuat naik foto bersama ayahnya ketika sambutan Aidilfitri April lalu serta fotonya mengimamkan solat jenazah arwah ayahnya sebelum proses pengebumian dijalankan. -Gempak
PELAKON dan pengacara terkenal, Fahrin Ahmad berkongsi berita sedih pemergian bapa tercinta, Ahmad bin Atil, yang menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lalu.

Ringkasan AI
  • Pelakon dan pengacara Fahrin Ahmad berkongsi berita sedih mengenai pemergian bapanya, Ahmad Bin Atil, yang meninggal dunia pada Jumaat lalu dan telah selamat dikebumikan pada Sabtu di Tanah Perkuburan Islam Bukit Mahkota, Kajang.
  • Fahrin meluahkan kesedihan mendalam di Instagram, menyatakan bahawa kehilangan ini amat meruntun hatinya walaupun kelihatan kuat secara zahir, dan turut berkongsi gambar kenangan bersama arwah ayahnya.
  • Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu urusan pengebumian serta yang hadir dan mendoakan, termasuk pasukan pengurusan jenazah Amal Team Bangi, namun tidak mendedahkan punca kematian ayahandanya.

Menerusi perkongsian beberapa keping gambar dimuat naik di Instagram, Fahrin meluahkan rasa kesedihannya yang mendalam.
"Satu lagi kehilangan yang saya tak mampu gambarkan perasaannya.
"Seakan kuat pada zahirnya tapi untuk yang ini hati saya terlalu rapuh yang hanya Tuhan mengetahui," tulisnya menerusi hantaran yang dibuat pada Ahad.
Fahrin turut memaklumkan bahawa jenazah ayahandanya telah selamat dikebumikan pada Sabtu di Tanah Perkuburan Islam Bukit Mahkota, Kajang.
“Alhamdulillah, selesai pengebumian Almarhum Ayahanda Ahmad Bin Atil semalam di Tanah Perkuburan Islam Bukit Mahkota,” katanya.
Dalam pada itu, pengacara berusia 46 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan pengebumian, serta kepada orang ramai yang hadir dan menitipkan doa serta ucapan takziah buat dia dan sekeluarga.
“Saya dan keluarga ingin merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang membantu urusan, yang hadir, serta semua ucapan takziah dan doa yang terlalu banyak di semua platform hingga saya tak sempat membalas satu persatu. Saya amat hargai semuanya.
“Terima kasih khusus buat Encik Zulhairi & pasukan pengurusan jenazah Amal Team Bangi, jenazah ayahanda disiapkan dengan sangat bersih, kemas dan rapi,” jelasnya.
Menerusi beberapa keping gambar yang dikongsi, aktor dilihat mengimamkan solat jenazah arwah ayahnya sebelum proses pengebumian dijalankan.
Sebagai kenangan terakhir, Fahrin turut memuat naik foto bersama ayahnya ketika sambutan Aidilfitri pada April lalu.
Sekadar info, Fahrin menerima perkhabaran duka itu ketika sedang menghadiri sebuah acara di Pasir Gudang, Johor, dan segera bergegas pulang ke Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan punca kematian Allahyarham bapanya. -Gempak
#Fahrin Ahmad #Ahmad Bin Atil #Tanah Perkuburan Islam Bukit Mahkota Kajang #meninggal dunia