HIBURAN

The Fantastic Four: First Steps bukan sekadar nama

Sinar Harian 26/07/2025 | 10:45 MYT
Lakonan mantap Pedro Pascal, Vanessa Kirby, Joseph Quinn dan Ebon Moss-Bachrach menyerlahkan dinamika keluarga adiwira. - Kredit Foto Marvel Studios
SELEPAS beberapa versi terdahulu yang kurang mendapat tempat di hati peminat, filem The Fantastic Four: First Steps akhirnya tampil sebagai naskhah Marvel Cinematic Universe (MCU) yang lebih kemas, matang dan dekat dengan emosi manusia.


Ringkasan AI
  • The Fantastic Four: First Steps tampil lebih matang dan beremosi, dengan latar retro-futuristik era 60-an serta fokus kepada tema kekeluargaan dan konflik dalaman watak.
  • Lakonan mantap Pedro Pascal, Vanessa Kirby, Joseph Quinn dan Ebon Moss-Bachrach menyerlahkan dinamika keluarga adiwira, dengan penceritaan yang perlahan tetapi berani menyentuh sisi peribadi seperti kehamilan Sue Storm.
  • Walaupun visual dan muzik memikat, filem ini dikritik kerana kurang aksi dan naratif yang terlalu berhati-hati, namun tetap dianggap sebagai permulaan yang meyakinkan untuk fasa baharu MCU.


Kali ini, Marvel Studios membawa penonton ke dunia retro-futuristik ala era 60-an yang bukan sahaja menghidangkan visual penuh stail dan warna, tetapi juga menyentuh tema kekeluargaan yang mendalam dan berjiwa.

Pasukan adiwira ikonik ini dibarisi oleh Pedro Pascal (Reed Richards), Vanessa Kirby (Sue Storm), Joseph Quinn (Johnny Storm) dan Ebon Moss-Bachrach (Ben Grimm) yang tampil dengan keserasian yang kuat.

Dinamika antara watak-watak terasa natural dan tidak dibuat-buat, memberikan nyawa kepada kisah mereka sebagai satu keluarga yang berdepan konflik besar – baik dalam dunia luar mahupun dalam diri masing-masing.

Vanessa Kirby (sebagai Sue Storm) berjaya menterjemahkan karakternya dengan cukup baik. - Marvel Studios



Pujian juga harus diberikan kepada penceritaan yang tidak tergesa-gesa. Penonton diberi ruang untuk memahami latar emosi setiap watak. Malah, penambahan elemen seperti kehamilan Sue Storm menjadikan naskhah ini lebih berani meneroka sisi peribadi seorang adiwira wanita yang sering kali terpinggir dalam genre ini.

Visual rekaan dunia Zenn-La dan bandar bawah tanah Subterranea pula cukup mengasyikkan – satu percubaan dunia alternatif yang tidak klise. Ditambah dengan sentuhan muzik Michael Giacchino yang penuh elemen 60-an, filem ini memberi nafas baharu kepada dunia Marvel yang semakin sarat dengan multiverse dan konflik berskala besar.

Namun begitu, naskhah ini masih belum benar-benar ‘fantastic’ sepenuhnya. Terdapat beberapa babak yang terlalu perlahan dan cenderung terlalu serius sehingga menyebabkan sesetengah penonton berasa hambar.

Walaupun gaya retro itu memikat, ada ketikanya ia kelihatan seperti mengorbankan sisi aksi dan keterujaan yang lazimnya dirasai dalam filem adiwira. Malah, watak utama seperti Galactus dan Silver Surfer yang sepatutnya menjadi tarikan utama turut kurang diberikan ruang untuk benar-benar menyerlah.

Beberapa pengkritik antarabangsa turut menyuarakan kebimbangan bahawa filem ini terlalu berhati-hati dalam naratifnya, seakan lebih menumpukan kepada membina asas berbanding memberikan impak yang kuat dalam fasa awal MCU baharu ini.

Namun secara keseluruhan, The Fantastic Four: First Steps merupakan langkah yang meyakinkan – tidak sempurna tetapi penuh potensi.

Ia berjaya memulihkan kepercayaan peminat terhadap francais ini, sekali gus memberi harapan bahawa pasukan adiwira pertama Marvel ini akhirnya menemui arah yang lebih stabil dan matang.

Apa yang lebih penting, ia membuktikan bahawa kekuatan adiwira bukan hanya pada kuasa luar biasa, tetapi juga pada nilai kekeluargaan yang tulus dan manusiawi. -- Sinar Harian







#The Fantastic Four #Marvel Studios #Pedro Pascal #Vanessa Kirby