Farid Kamil, Aaron Aziz terima gelaran Datuk

Gempak
Disember 16, 2017 06:00 MYT
Farid Kamil dan Aaron memasuki senarai golongan artis penerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk. - Gambar fail

PELAKON dan pengarah, Farid Kamil Zahari dan artis kelahiran Singapura, Aaron Aziz antara 169 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini.

Farid Kamil yang juga Penerbit Filem FKX Sdn Bhd dan Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz masing-masing menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.
Sementara itu, isteri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datin Seri Anggraini Sentiyaki mendahului senarai nama penerima pingat yang menerima Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama 21 individu lain.
Manakala lima penerima dianugerahkan Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) dengan gelaran Datuk Indera.
Sultan Ahmad Shah juga berkenan mengurniakan darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada enam penerima, Setia Mahkota Pahang (SMP) lapan individu, Ahli Mahkota Pahang (AMP) 20 penerima, Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) enam penerima dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 13 individu.

#Aaron Aziz #Darjah Indera Mahkota Pahang #Datuk #DIMP #Farid Kamil #gelaran #Pahang