“Alhamdulillah, saya terkeluar…” itulah komen pertama diberikan oleh pelajar keempat tersingkir di konsert minggu keenam #AF2015 iaitu Faroq apabila ditanya mengenai penyingkirannya.

Bagaimanapun, ia tidak membawa maksud bahawa pelajar berasal dari Melaka itu tidak suka berada di dalam akademi, sebaliknya dia menerima keputusan tersebut dengan cara yang positif.

“Saya bersyukur tersingkir kerana dah rindu dunia luar, rindu pada gitar, pada kampung, keluarga dan rakan-rakan.

“Ini semua takdir, dah tertulis bahawa perjalanan saya dan Openg hanya setakat minggu keenam. Jadi nak atau tidak kita kena akur.

“Lagipun kedudukan kami adalah berdasarkan peratusan undian… Jadi setiap minggu saya dah sedia untuk berhadapan dengan situasi (penyingkiran) ini,” katanya ketika ditemui Astro Gempak sebaik sahaja konsert tamat.

Ditanya mengenai persembahan, Faroq atau nama sebenarnya Muhammad Amyroulfarouk Mohd Nor mengakui persembahannya sedikit hambar.

“Sebenarnya saya akui persembahan tadi sedikit hambar dan saya tak puas serta kecewa sebab saya rasa boleh beri lebih baik lagi,” jelasnya pendek.

Tambah Faroq lagi, dia tidak ambil hati terhadap kritikan yang diberikan oleh juri-juri dan menganggap ia sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya.

“Rezeki tuhan itu luas, kita tak tahu apa yang dah diaturkan dan hanya perlu ikut sahaja. Yang penting jangan putus asa untuk mencuba.

“Berjaya bertahan selama enam minggu di Akademi Fantasia pun saya dah cukup gembira kerana banyak perkara yang saya dapat belajar.

“Ilmu-ilmu yang dikumpul sepanjang berada di akademi tidak akan saya sia-siakan.” katanya mengakhiri perbualan.

Dengan bertemakan Rock, Faroq telah membawakan lagu berjudul ‘Cinta Dewa Dewi’ nyanyian asal kumpulan Spider tersingkir dengan peratusan undian terendah iaitu 7.79%.

Selain Faroq, Openg juga merupakan seorang lagi pelajar tersingkir pada malam tersebut dengan peratusan undian sebanyak 7.96.

Konsert Kelima #AF2015 bersiaran secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).