KUALA LUMPUR: Filem sulung arahan penerbit dan pengarah rakyat Malaysia Jin Ong berjudul 'Abang Adik', yang mengisahkan pahit manis hubungan erat dua anak yatim yang tiada pertalian darah, telah menarik perhatian komuniti penerbit filem global.

'Abang Adik' mula menarik perhatian pada Mac tahun ini apabila mendominasi enam kategori di Festival Filem Antarabangsa Fribourg di Switzerland, termasuk dalam kategori hadiah utama, kategori hadiah juri khas, hadiah juri belia, dan kategori hadiah kritik. Filem ini memenangi Anugerah Juri Ekumenikal dan Anugerah Penonton.

Filem ini, yang merupakan usaha kerjasama antara Malaysia dan Singapura, terus meraih anugerah sejak itu termasuk di Festival Filem Asia Timur ke-25 di Udine, Itali, Festival Filem Asia New York ke-22, Festival Filem Seratus Bunga Emas di China, dan Festival Filem Antarabangsa QCinema - The Next Asian Wave di Filipina.

Filem ini turut mendapat pengiktirafan di Anugerah Golden Horse yang prestij ke-60 di Taipei apabila dicalonkan dalam tujuh kategori, iaitu Pelakon Terbaik (dimenangi oleh pelakon Taiwan Wu Kang Ren), Pelakon Pembantu Terbaik, Pengarah Baru Terbaik, Pelakon Baru Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lagu Filem Asli Terbaik, dan Solekan dan Reka Busana Terbaik.

Baru-baru ini, 'Abang Adik' mencatat sejarah di Taiwan apabila mencipta rekod pecah panggung dengan kutipan RM2.2 juta selepas hanya tiga hari ditayangkan.

Semasa sidang media selepas tayangan media 'Abang Adik' di sini hari ini, Jin berkata filem ini menonjolkan hubungan kemanusiaan dan kasih sayang antara satu sama lain di tengah-tengah kesibukan kawasan Pudu yang telah membangkitkan pelbagai emosi.

Menurut Jin filem ini juga menangani isu penduduk tanpa kewarganegaraan.

Bangga dengan kejayaan pembikinan filem Malaysia itu, Jin berkata beliau berhasrat untuk mengetengahkan karya filem-filem tempatan ke persada antarabangsa.

Sementara itu, penerbit 'Abang Adik' yang juga penyanyi dan pelakon Lee Sinje berkata Malaysia mempunyai banyak kisah unik yang tidak terdapat di mana-mana tempat di dunia. Seperti Jin, beliau juga bercita-cita untuk mempromosikan filem-filem tempatan kepada peminat filem global, agar mereka lebih memahami tentang Malaysia.

Filem ini mengisahkan kehidupan Abang (Wu Kang Ren), yang pekak dan bisu, dan Adi (Jack Tan). Mereka dibesarkan tanpa keluarga di bawah jagaan jiran mereka, Kakak Money (Tan Kim Wang), yang menjadikan mereka sebagai anak kandung bagi memastikan kelangsungan kehidupan dua anak yatim ini.

'Abang Adik' dijadualkan akan ditayangkan di pawagam pada 14 Dis.

-- BERNAMA