Teaser pertama bagi filem Power Rangers dilancarkan pada Sabtu sempena dengan New York Comic Con.

Sekali imbas, teaser tersebut tidak tersasar jauh daripada jalan cerita asal siri televisyen Power Rangers pada era 90-an:

Lima remaja sekolah tinggi di Angel Grove mendapat kuasa luar biasa untuk menentang makhluk asing yang ingin menakluk bumi.

Mereka juga mempunyai perwatakan yang hampir sama dalam teaser tersebut iaitu kumpulan remaja yang tersisih di sekolah.

Blue Ranger Billy lakonan RJ Cyler dan Yellow Ranger Trini (Becky G) merupakan mangsa buli, Pink Ranger Kimberly (Naomi Scott) mahu diterima rakan-rakan, Black Ranger Zack (Ludi Lin) sentiasa menyendiri, dan Red Ranger Jason (Dacre Montgomery) pula remaja pemarah yang bermasalah di rumah.

Namun filem terbitan Lionsgate ini dilihat sebagai gubahan semula siri tersebut dengan imej dan hala tuju berbeza yang jelas terpapar sejak beberapa poster awal didedahkan.

Power Rangers tidak lagi memakai kostum spandeks sebaliknya muncul dengan sut berperisai mirip Iron Man.

Selain lima muka baharu, Power Rangers turut diperkuat dengan beberapa nama besar Hollywood.

Pelakon utama Breaking Bad Bryan Cranston melakonkan watak mentor Power Rangers, Zordon. Bintang komedi Bill Hader pula melakonkan suara Alpha 5 manakala teraju utama Pitch Perfect Elizabeth Banks tampil sebagai watak jahat Rita Repulsa.