HIBURAN

Filem seram 'Malam Terlarang' raih kutipan pembukaan RM3 juta

Astro Awani 03/11/2025 | 10:45 MYT
Malam Terlarang menyampaikan mesej tentang ‘bila bertuhankan nafsu’, di mana ada yang sanggup melakukan apa sahaja demi kemahuan duniawi. - Foto Astro Shaw
KUALA LUMPUR: Filem seram terbaharu terbitan Astro Shaw, Malam Terlarang, mencipta kejayaan apabila meraih kutipan pembukaan berjumlah RM3 juta.


Ringkasan AI
  • Filem seram Malam Terlarang raih kutipan pembukaan RM3 juta, membuktikan sambutan positif terhadap karya seram tempatan berkualiti tinggi.
  • Filem terbitan Astro Shaw ini gabungkan elemen seram Nusantara dan kisah kekeluargaan, dengan visual memukau serta lakonan mantap barisan pelakon terkenal seperti Zul Ariffin, Sofia Jane dan Shasha Abedul.
  • Malam Terlarang berlatarkan era 1980-an dan membawa mesej Bila Bertuhankan Nafsu, menjanjikan pengalaman sinematik berbeza di pawagam.


Penerbit Eksekutif Malam Terlarang merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata kejayaan itu membuktikan sambutan positif daripada terhadap naskhah seram tempatan.

"Kami amat berterima kasih atas sokongan luar biasa daripada penonton yang memilih untuk menonton Malam Terlarang di pawagam.

"Kejayaan ini menjadi bukti bahawa karya tempatan yang dihasilkan dengan kualiti tinggi dan jalan cerita yang dekat dengan jiwa penonton masih mendapat tempat di hati rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam masa sama, Raja Jastina mengajak orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman sinematik Malam Terlarang di pawagam, sebuah pengalaman yang pastinya lebih mengujakan dan berbeza apabila dinikmati di layar besar.

Malam Terlarang bukan sekadar menampilkan elemen seram dan mistik Nusantara, tetapi turut mengangkat kisah kekeluargaan yang penuh emosi.

Visual yang memukau serta lakonan mantap barisan pelakon turut menjadi antara faktor kejayaan Malam Terlarang.

Malam Terlarang menyampaikan mesej tentang ‘bila bertuhankan nafsu’, di mana ada yang sanggup melakukan apa sahaja demi kemahuan duniawi.

Berlatarkan tahun 1980-an, filem tersebut memberi fokus kepada sebuah keluarga yang menyimpan banyak rahsia merentas generasi.

Filem tersebut bintangi barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Sofia Jane, Shasha Abedul, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Amir Nafis, Haneesya Hanee, Aila Azizul serta Sadiq M. Jamil.




#Filem Malam Terlarang #Zul Ariffin #Berita hiburan Malaysia #kutipan tiket #Sofia Jane #terkini