PENERBIT Astro Shaw bakal menyalurkan RM1 daripada setiap pembelian tiket filem Gemencheh Boys ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin bermula 30 Oktober 2023.

Penerbit Eksekutif Gemencheh Boys merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, inisiatif sumbangan ini adalah membantu rakyat Palestin.

“Kami berharap pelaksanaan usaha ini dapat mempamerkan kebersamaan seluruh masyarakat terhadap perjuangan Palestin.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang terkesan di bumi Gaza,” ujarnya.



Gemencheh Boys terbitan Astro Shaw bersama GV Corporate Advisory dan SOL Pictures telah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei sejak 26 Oktober lalu.

Gemencheh Boys adalah sebuah kisah enam budak ‘jahanam’ sewaktu zaman persekolahan.

Kenakalan mereka sering diperkatakan bukan sahaja di sekolah tetapi dalam kalangan penduduk kampung.

Demi menjadikan mereka manusia berguna, Cikgu Azman berusaha membimbing dan mendorong mereka menyertai pasukan kriket sekolah, sekali gus mengubah kehidupan mereka.

Ikuti perkembangan terbaharu dan info lanjut mengenai inisiatif ini di platform TikTok, Instagram, X, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak. -Gempak