KUALA LUMPUR: Selebriti serba boleh, Alif Satar tidak melihat gerakan #GengSubuhMacamJumaat yang dimulakannya sebagai satu bentuk dakwah berat, sebaliknya hanya usaha kecil dalam menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam.

Kata Alif, beliau tidak merasakan gerakan itu sebagai miliknya secara peribadi, tetapi ia adalah milik setiap individu yang sedang berusaha ke arah memperbaiki diri menjadi umat Islam yang lebih baik.

"Ini adalah rukun Islam kita yang kedua, ini perkara paling asas. Ini bukan soal bijaknya buat gerakan seperti ini, tidak. Ia memang tuntutan agama yang saya rasa, ramai orang Malaysia macam saya juga yang merasakan, inilah perubahan yang mahu dibuat.

"Saya tak rasa ini gerakan saya, ini gerakan umat Islam. Di Turkiye sudah lama ada gerakan seperti ini. Saya pernah juga tengok di surau di Temerloh, orang kampung memang setiap hari berjemaah solat Subuh.

"Saya harap dengan pengaruh yang Allah beri pada saya, ada 3.5 juta pengikut di Instagram, di TikTok ada lagi 700,000, apa yang saya buat? Memang saya nak guna untuk tujuan bisnes dan kerja saya tapi ada juga benda lain, lebih besar dan mendatangkan manfaat kepada orang ramai," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Ahad.

Biarpun industri seni sering dilingkari cerita negatif dan kontroversi, pelantun 'Lelaki Seperti Aku' itu mahu khalayak memahami bahawa setiap industri mempunyai cara dan platform masing-masing dalam menyampaikan kebaikan, dan industri seni khususnya, mempunyai kelebihan kerana sering menjadi tumpuan masyarakat.

Enggan memikirkan mulut yang bercakap negatif tentang usahanya, Alif berkata, usia pembabitan dalam industri yang mencecah 18 tahun mematangkannya dalam menangani setiap isu yang cuba dibangkitkan pihak tidak bertanggungjawab.

Malah, istilah terkilan langsung tidak wujud kerana apa yang dilakukan bukanlah untuk mengharapkan kata pujian manusia, sebaliknya ganjaran berpanjangan yang bakal dibawa apabila ke Negeri Abadi kelak.

"Saya tak ambil peduli, nak cakap apa, cakaplah. Buat benda baik pun orang bercakap, buat benda tak baik lagilah orang bercakap.

"Saya yakin (aspek) positif lebih banyak, mereka yang nak ke arah kebaikan lebih ramai. Kalau ada yang nampak negatif, saya doakan satu hari nanti hati mereka terbuka (untuk melihat aspek positif).

"Kalau kita rasa buat benda baik itu seperti nak menunjuk, atau buat semata-mata sebab nak jumpa artis, sampai bila pun kita takkan buat benda baik," kata bintang filem 'Anak Perjanjian Syaitan 2' yang kini sedang ditayangkan di pawagam.

Tambah Alif, beliau percaya setiap individu berhak melakukan apa yang dimahukan menerusi platform milik mereka, namun harus memikirkan niat di sebalik apa yang dilakukan.

Ini kerana, kecanggihan teknologi dan medium komunikasi terutamanya media sosial, ada kalanya menjadikan manusia lebih cepat bertindak daripada berfikir, sehingga menimbulkan implikasi negatif bukan sahaja ke atas diri sendiri tetapi juga masyarakat.

"Seperti petikan dialog filem Spiderman, 'with great power, comes great responsibility'. Apabila ada pengaruh, ia jadi satu kuasa tetapi perlu ingat, ada tanggungjawabnya.

"Betul, platform memang milik individu. Apa yang dilakukan atau dikatakan itu adalah risiko sendiri, jadi kena terbuka terhadap kecaman dan perbincangan orang lain.

"Tetapi sebagai manusia saya percaya, kita semua nak melakukan kebaikan. Dalam pada melakukan kebaikan pun, akan ada orang mengata tapi yang penting, semuanya akan berbalik pada niat masing-masing," ujarnya.

Mengharapkan #GengSubuhMacamJumaat akan berterusan dan menjadi norma baharu umat Islam secara amnya, Alif turut meluahkan penghargaan kepada pihak berkuasa agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Agama Islam Selangor, serta jabatan agama Islam di seluruh negara yang memainkan peranan besar dalam menyemarakkan gerakan tersebut.

"Saya lihat di Sabah pun ada buat, di Johor, Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi buat program Semarak Subuh di seluruh negeri, saya percaya gerakan ini akan jadi lebih besar.

"Jadi saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menjadikan gerakan ini, gerakan kita semua," katanya mengakhiri perbualan.