HIBURAN

George Clooney, Amal dan anak kembar terima kewarganegaraan Perancis

Agensi 31/12/2025 | 00:20 MYT
George Clooney dan isteri, Amal Clooney, serta dua anak mereka kini secara rasmi menjadi warganegara Perancis. - Gambar fail Reuters
PARIS: Pelakon terkenal Hollywood, George Clooney bersama isterinya, peguam hak asasi manusia Amal Clooney, serta dua anak mereka kini secara rasmi menjadi warganegara Perancis.

Perkara itu diumumkan melalui Journal Officiel, penerbitan rasmi kerajaan Perancis yang menyiarkan dekri kerajaan.

Difahamkan, kediaman utama keluarga Clooney terletak di Brignoles, selatan Perancis, di sebuah ladang dibeli pasangan itu pada 2021.

Datuk Bandar Brignoles, Didier Bremond ketika ditemu bual media tempatan menyifatkan keputusan Clooney sekeluarga sebagai bukti “cinta mereka terhadap negara kami.”

Beliau memberitahu saluran BFMTV bahawa keluarga Clooney adalah “sangat sederhana dan mudah didekati.”

“Di sini, beliau mahu hidup secara normal, dan itulah yang sedang diusahakan,” katanya.

Dalam temu bual bersama majalah Esquire awal tahun ini, Clooney menjelaskan, keputusan berpindah ke Perancis dibuat kerana beliau bimbang membesarkan anak-anak di Los Angeles, dalam budaya Hollywood.

“Saya tidak mahu mereka hidup dalam ketakutan terhadap paparazi atau dibandingkan dengan anak-anak selebriti lain,” katanya.

“Kami tinggal di sebuah ladang di Perancis. Sebahagian besar hidup saya dulu di ladang, dan ketika kecil saya benci idea itu. Tetapi kini, untuk mereka, ia berbeza – mereka tidak leka dengan iPad, mereka makan malam bersama orang dewasa dan perlu kemas sendiri pinggan. Hidup mereka jauh lebih baik,” tambah Clooney.

Selain kediaman di Perancis, Clooney turut memiliki rumah di United Kingdom dan Kentucky, tempat kelahirannya, menurut laporan New York Times.

Anak kembar mereka, Ella dan Alexander dilahirkan di London pada 2017.

Amal pula dilahirkan di Lubnan dan dibesarkan di UK. Journal Officiel turut mendedahkan Amal dinaturalisasi menggunakan nama asalnya, Amal Alamuddin.

Menariknya, proses menyesuaikan diri dengan kehidupan di Perancis lebih mudah bagi Amal dan anak-anak berbanding Clooney.

Dalam satu temu bual mempromosikan filem terbaharunya, Clooney mengakui bahasa Perancis isterinya dan anak-anak adalah sempurna, manakala beliau sendiri menyifatkan penguasaannya sebagai “teruk”, walaupun cuba belajar melalui aplikasi.

“Mereka bercakap Perancis di depan saya supaya boleh mengata saya tanpa saya faham,” selorohnya kepada penyiar Canal+. - Agensi








#george clooney #Amal Clooney #warga Perancis #aktor hollywood