KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal yang juga vokalis kumpulan Screen, Gmie menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.30 pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Allahyarham Gmie atau nama sebenarnya, Hajmi Ibrahim meninggal dunia pada usia 50 tahun akibat penyakit buah pinggang berlubang.

Menurut anak Allahyarham, Siti Hadirah, beberapa hari sebelum ini, ayahnya kurang sihat dan hilang selera makan.

Bahkan, kata Siti Hadirah, Allahyarham juga pengsan di rumah sebelum keluarga menghubungi ambulans.

“Abah pengsan sebab kekurangan darah. Keluarga buat keputusan bawa Allahyarham ke hospital. Semasa dirawat di hospital, keadaan abah stabil dan kami sempat juga membuat panggilan video.

“Bagaimanapun, dalam pukul 1.30 pagi tadi, doktor menghubungi kami memaklumkan abah kritikal sebelum abah menghembuskan nafas terakhir,” ujar Siti Hadirah dalam kiriman mesej menerusi Instagram kepada Astro AWANI.

Gmie menempa nama sebagai antara penyanyi terbaik negara menerusi kumpulan Screen yang masyhur dengan lagu Bila Cinta Didusta.

Allahyarham pernah menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga terbitan Astro pada 2016.

Sementara itu, pengurus peribadi Allahyarham Gmie, Fuad Syahrin Misbah berkata, sudah hampir dua tahun Gmie diuji dengan penyakit buah pinggang berlubang.

Sepanjang tempoh itu juga, Allahyarham, kata Fuad, lebih senang tidak menghebahkan keadaan kesihatannya kepada umum.

“Beliau tidak mahu kawan-kawan dan peminatnya terlalu memikirkan penderitaan yang dilalui. Selagi boleh melaluinya, Allahyarham tidak mahu susahkan sesiapa.

“Saya sendiri hanya mengetahui mengenai sakitnya selepas setahun beliau disahkan oleh doktor berhadapan masalah itu,” kata Fuad dalam nada sebak kepada Astro AWANI ketika dihubungi.