HIBURAN

Graham Greene, bintang 'Dances with Wolves', meninggal dunia pada usia 73 tahun

Astro Awani 02/09/2025 | 04:20 MYT
Sepanjang kerjaya selama lebih empat dekad, Greene membintangi lebih 200 produksi filem dan televisyen. - Foto X/Variety
TORONTO: Pelakon legenda Kanada, Graham Greene, yang dikenali ramai menerusi wataknya sebagai Kicking Bird dalam filem epik Dances With Wolves arahan Kevin Costner, telah meninggal dunia pada usia 73 tahun.


Ringkasan AI
  • Graham Greene, pelakon pribumi Kanada yang terkenal menerusi filem Dances With Wolves, meninggal dunia pada usia 73 tahun akibat sebab semula jadi.
  • Sepanjang kerjaya lebih 40 tahun, beliau membintangi lebih 200 produksi dan menerima pelbagai anugerah termasuk pencalonan Oscar dan Order of Canada.
  • Pemergiannya mencetuskan penghormatan meluas, dengan filem Ice Fall dijangka menjadi penampilan terakhirnya di layar perak.


Berita pemergiannya disahkan oleh pengurus beliau, Gerry Jordan, yang memaklumkan bahawa Greene meninggal dunia sebab semula jadi di hospital Toronto pada Isnin.

Greene, yang berasal dari komuniti Oneida Nation dan membesar di Six Nations Reserve, Ontario, merupakan antara pelakon pribumi paling berpengaruh dalam sejarah Hollywood.

Beliau menerima pencalonan Anugerah Akademi bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada tahun 1991 menerusi peranannya sebagai dukun Lakota dalam Dances With Wolves.

Sepanjang kerjaya selama lebih empat dekad, Greene membintangi lebih 200 produksi filem dan televisyen, termasuk Thunderheart (1992), The Green Mile (1999), Die Hard With A Vengeance (1995), Maverick (1994), The Twilight Saga: New Moon (2009), dan Wind River (2017).

Beliau juga dikenali menerusi peranan dalam siri Reservation Dogs, Tulsa King, dan The Last of Us.

Sebelum menceburi bidang lakonan, Greene pernah bekerja sebagai juruteknik, keluli, dan kru muzik.

Beliau memulakan kerjaya teater di United Kingdom pada tahun 1970-an dan sering menyatakan bahawa disiplin teater telah membentuk asas lakonannya di layar perak.

Greene menerima pelbagai pengiktirafan sepanjang hayatnya, termasuk Earle Grey Award untuk Pencapaian Sepanjang Hayat oleh Akademi Filem dan Televisyen Kanada pada 2004, dan dilantik sebagai penerima Order of Canada pada 2016 -penghormatan kedua tertinggi negara itu.

Beliau meninggalkan seorang isteri, Hilary Blackmore, anak perempuan mereka Lilly Lazare-Greene, dan seorang cucu, Tarlo.

Berita kematiannya mencetuskan gelombang penghormatan di media sosial, dengan ramai peminat dan rakan industri menyifatkan beliau sebagai ikon seni dan suara penting bagi komuniti pribumi.

Greene dijadual muncul dalam filem thriller Ice Fall bersama Joel Kinnaman, yang bakal ditayangkan pada Oktober ini - menandakan karya terakhirnya dalam dunia lakonan.








#Graham Greene #meninggal dunia #Dances With Wolves #semula jadi