Hanez Suraya bakal timang anak kedua

Gempak
Disember 31, 2018 06:00 MYT
SEKALIPUN sedang hamil tiga bulan, namun Hanez Suraya masih memberi tumpuan pada perniagaannya.
Pelakon tinggi lampai, Hanez Suraya, 33, sedang hamil anak kedua.
Hanez atau nama sebenarnya, Hanez Suraya Abdul Aziz berkongsi berita gembira ini menerusi entri terbaharu di laman Instagram miliknya.
Pelakon ini berkongsi video imbasan kandungan menerusi entri terbabit.
Ketika dihubungi, Hanez mendedahkan, kehamilannya kini berusia tiga bulan.
"Alhamdulillah, kandungan saya kini berusia tiga bulan. Anak yang pertama, Putri Aleesya juga sudah menginjak usia tiga tahun.
"Setakat ini, semuanya dipermudahkan. Saya juga sempat berniaga dan membuka booth jenama tudung saya, Everyday KL di ECurve.
"Saya berharap agar proses kehamilan dipermudahkan dan saya memohon doa yang baik-baik daripada semua pihak," katanya.
Hanez mendirikan perkahwinan bersama usahawan, Romie Razin Aidilha Abd Jais, 37, pada 25 Mac 2015.
#hamil #Hanez Suraya #Putri Aleesya #Romie Razin Aidilha Abd Jais