Filem Hanyut yang diilhamkan dari novel klasik karya Joseph Conrad berjudul Almayer's Folly sudah lama menjadi buah mulut penggemar filem tempatan. Lama sudah 'Hanyut' meniti dibibir peminat-peminat dan juga pengiat filem tempatan.

Apabila pengarahnya, U-Wei Saari memulakan pengambaran pada 2010, peminat dan pengiat filem tempatan menunggu dengan penuh sabar untuk menyaksikan karya pengarah tersohor ini di layar perak. Tambahan pula, U-Wei dikenali dengan karya-karya hebatnya seperti Perempuan, Isteri dan ... (1994), Kaki Bakar (1995) dan Jogho (1997), jadi tidak hairan, 'Hanyut' hasil kerja yang dinantikan.

Namun dalam keadaan menanti 'Hanyut' membuka panggung di pawagam tempatan, peminat dan penggiat filem tempatan menerima khabar, filem yang menelan belanja RM18 juta itu terlebih dahulu akan menemui penonton Indonesia. 'Hanyut' ditayangkan di Indonesia lebih awal dari Malaysia.

Bila khabar tentang 'Hanyut' akan mula ditayangkan di Indonesia terlebih dahulu dengan menggunakan tajuk 'Gunung Emas', ramai yang mempertikaikan tindakan U-Wei dan penerbitnya, Julia Fraser. Ada suara-suara yang menganggap U-Wei tidak patriotik.

Tetapi, pada Jumaat (31 Okt), U-Wei dan Julia serta beberapa pelakon yang turut membintangi 'Hanyut' bertemu wartawan untuk menjelaskan kenapa filem itu terlebih dahulu ditayangkan di Indonesia.

"Hanyut ke Indonesia terlebih dahulu perlu dilihat dari sudut yang positif, pertama kali dalam sejarah, Indonesia mahu filem Malaysia ditayangkan di sana, di 100 buah panggung.

"Bila filem Malaysia diterima di Indonesia bermakna ia membawa impak yang besar kepada industri filem dan tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang negatif.

"Kejayaan ini merupakan indikasi bahawa ianya merupakan filem yang berjaya merentas sempadan negara," kata U-Wei kepada wartawan.

Hanyut
Poster filem Hanyut arahan U-Wei Saari

U-Wei juga menegaskan sebagai pengarah 'Hanyut', beliau sendiri mahu filem tersebut menemui peminat tempatan terlebih dahulu.

"Saya lebih mahu filem ini ditayangkan di sini terlebih dahulu sebelum pergi ke negara lain," katanya.

Beliau menjelaskan, untuk menayangkan 'Hanyut', beliau memerlukan kos sebanyak RM2 juta untuk melakukan kerja-kerja promosi.

Jelas U-Wei, beliau dan penerbit 'Hanyut' masih mengadakan rundingan dengan pihak Perbadanan Filem Nasional (Finas) bagi mendapatkan dana untuk melakukan promosi filem tersebut.

"Kami masih berbincang dan harapan untuk mendapatkan dana tersebut ada, mungkin tidak lama lagi tetapi bila Indonesia tawarkan, saya perlu rebut peluang yang ada.

"Filem ini mewajibkan penonton untuk menyaksikannya di pawagam, jadi ia perlukan promosi yang menggunakan strategi yang benar-benar bijak.

"Saya tidak mahu penonton menikmatinya melalui DVD atau medium-medium lain. Kerana kualiti sebegini memang ditakdirkan untuk ditonton di pawagam di seluruh negara kita," katanya lagi.

Dengan mengambil contoh filem 'The Journey' yang menghabiskan RM2 juta untuk kerja-kerja promosi, U-Wei menjelaskan aspek promosi sebagai proses yang benar-benar penting.

U-Wei juga menjelaskan pihak yang mengedarkan 'Hanyut' atau 'Gunung Emas' di Indonesia mempunyai jentera sendiri bagi melakukan kerja-kerja promosi filem tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai penantian yang lama untuk ditayangkan, salah seorang pelakon 'Hanyut', Sabri Yunus menjelaskan; "Kalau penantian itu menyiksakan, U-Wei lebih tersiksa menantikan filem ini dapat ditayangkan di sini,"

'Hanyut' akan diedarkan oleh Legacy Film, sebuah syarikat yang mana salah seorang pelakon filem ini dari Indonesia, Rahayu Saraswati memiliki saham dalam syarikat tersebut.

Filem ini berlatarbelakangkan keadaan kosmopolitanisme dan dibintangi pelakon hebat dari Malaysia dan Indonesia seperti Khalid Salleh, Sabri Yunus, Sofia Jane, Adiputra, Diana Danielle, Alex Komang, El Manik dan pelakon antarabangsa Peter O'Brien.

U-Wei menjelaskan, Finas iktiraf 'Hanyut' sebagai filem kenegaraan dan beliau berharap dengan pengiktirafan itu beliau mendapat dana untuk kerja-kerja promosi yang dianggap strategi utama kejayaan sebuah filem.

'Hanyut' dihasilkan dengan pinjaman sebanyak RM 10 juta dari Bank Simpanan Nasional (BSN), geran dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebanyak RM 6 juta, dan pelaburan oleh Finas sebanyak RM 2 juta.