Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
HIBURAN

“Harap pihak isteri beri kelonggaran, mudahkan saya berjumpa dengan Hawra” - Kamal Adli

Gempak 19/11/2025 | 04:00 MYT
Kamal Adli mohon agar isterinya Uqasha Senrose memberi kelonggaran dan memudahkan dia untuk meluangkan masa bersama anak perempuannya, Hawra Uqaira.
PELAKON Kamal Adli mohon agar isterinya iaitu aktres Uqasha Senrose memberi kelonggaran dan memudahkan dia untuk meluangkan masa bersama anak perempuannya, Hawra Uqaira.

Kamal atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli berkata, urusan peribadi tidak sepatutnya dikongsikan kepada umum kerana fokusnya hanya mahu menjaga anaknya.

"Ini hal rumah tangga, biar saya dengan dia yang selesaikan sebenarnya dan tak patut pun untuk dikongsikan dengan orang untuk jadi bahan untuk menghakimi.

"Jadi tak seronok dan paling penting tak 'best' untuk anak saya, Hawra. Sekarang saya nak pertahankan (ha) untuk jumpa Hawra.

"Macam lama sangat tak dapat luangkan masa dengan dia. Jadi, saya harap pihak isteri bagi kelonggaran, memudahkan kerja untuk saya nak jumpa dengan Hawra. Kali terakhir berjumpa dia pada 10 November, itu pun terjumpa," katanya kepada Gempak.

Pelakon berusia 39 tahun ini turut memaklumkan, kehadirannya ke mahkamah dilakukan demi anak mereka yang masih memerlukan perhatian ibu dan ayah.

"Saya cuma nak cakap saya datang sini sebab saya ada anak lagi yang perlukan mak dengan ayah dia.

"Itu yang paling penting dan semua orang kena faham kenapa saya dekat sini. Saya tak fikir fasal saya dah. Ini semua sebab Hawra dan apa pun pendapat isteri, saya fikir saya tak nak anak saya tak dapat kasih sayang yang cukup.

"Jadi, sebab itu saya pertahankan untuk Hawra sebenarnya," katanya lagi.

Sebelum ini, Kamal berkongsi gambar bersama Uqasha dan anak mereka menunjukkan kerinduan mendalam selepas tidak dapat berkomunikasi dengan wanita itu.

Terdahulu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dan prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober 2025.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang berusia 18 bulan. - Gempak


#Kamal Adli #Uqasha Senrose #kes cerai Kamal Adli #Hawra Uqaira