'Hawkeye' Jeremy Renner semakin pulih

Astro Awani
Januari 4, 2023 02:40 MYT
Renner memuat naik satu swafoto di akaun Instagram miliknya dan mengucapkan terima kasih kepada peminatnya atas ingatan mereka. - Foto Instagram/jeremyrenner
PELAKON Jeremy Renner yang membawakan watak Hawkeye dalam siri filem Marvel 'Avengers', kini semakin pulih.
Renner dimasukkan ke hospital di Nevada, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, selepas mengalami kecederaan serius ketika membersihkan salji.
Pada Selasa, bintang Avengers itu memuat naik satu swafoto di akaun Instagram miliknya serta mengucapkan terima kasih kepada peminatnya atas ingatan mereka.
Foto tersebut diambil dari katil hospital, mempamerkan beberapa kesan lebam di muka serta tiub oksigen yang dimasukkan ke dalam hidungnya.
BACA: 'Hawkeye' Jeremy Renner cedera, kini dalam keadaan kritikal tetapi stabil
"Terima kasih atas ucapan semua.
"Saya masih menerima rawatan namun saya ingin sampaikan kasih sayang saya kepada semua," tulisnya.
Pada Isnin, wakil pelakon itu memaklumkan, Renner berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil selepas kecederaan dialaminya pada Tahun Baharu.
Katanya, Renner, 51 tahun, mengalami kecederaan di bahagian dada serta kecederaan ortopedik yang lain.
Ketika kejadian, kawasan di utara Nevada menerima salji lebat.
Menurut akhbar Reno Gazette Journal, Renner mempunyai sebuah rumah di Daerah Washoe dan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan telah mengeluarkan amaran cuaca buruk pada malam tahun baharu.
Dalam satu sidang media pada Selasa, Sherif Daerah County, Darin Balaam berkata, Renner dihempap bajak salji yang bergerak sendiri selepas menggunakannya untuk mengeluarkan kenderaan miliknya dari timbunan salji.
Jelasnya, bajak salji jenama PistenBully itu seberat lebih 6 tan.
"Dalam usaha menghentikan PistenBully itu, Renner cuba memasuki kenderaannya melalui pintu penumpang namun tidak sempat dan telah dihempap," jelasnya sambil menambah tiada perbuatan khianat disyaki.
Renner dicalonkan dalam Anugerah Oscar bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam filem 'The Hurt Locker'.
Dia turut dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem 'The Town'.
Selepas kejayaannya dalam 'The Hurt Locker', Renner muncul dalam beberapa projek Marvel serta dua filem 'Mission: Impossible' selain membintangi filem 'Arrival' dan 'American Hustle,' antara lain.
#Jeremy Renner #Avengers #Marvel #cedera