HIBURAN

Helen Mirren sambut ulang tahun ke-80, seronok meniti usia

Bernama 26/07/2025 | 22:00 MYT
Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-80, Mirren turut berkongsi petua kesihatan dan kecantikan yang diamalkannya. - Foto AP
LONDON: Pelakon veteran Britain, Helen Mirren, berkata beliau sedang "meniti usia tua dengan seronok" dan bukan secara "anggun" ketika menyambut ulang tahunnya yang ke-80 pada Sabtu, lapor PA Media/dpa.

Pelakon kelahiran London yang pernah memenangi Anugerah Akademi itu terkenal dengan wataknya sebagai Ratu Elizabeth dan detektif Jane Tennison dalam siri televisyen Prime Suspect.

Dalam temu bual bersama majalah OK!, Mirren berkata beliau berasa "terhina" apabila orang memujinya kelihatan baik untuk usianya, kerana menganggap kenyataan itu bersifat merendah-rendahkan.

"Saya langsung tidak meniti usia tua secara anggun! Saya benci istilah itu - ia seolah-olah anda perlu kekal anggun dan menerima keadaan seadanya. Tidak, saya tidak begitu.

"Saya meniti usia tua dengan seronok dan penuh komitmen, tetapi bukan secara anggun. Siapa peduli tentang keanggunan?

"Kita memang akan menua, tiada cara untuk lari daripada hakikat itu. Kita perlu membesar bersama tubuh dan wajah sendiri serta segala perubahannya.

"Ia tidak selalunya mudah tetapi tidak dapat dielakkan. Anda perlu belajar menerimanya."

Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-80, Mirren turut berkongsi petua kesihatan dan kecantikan yang diamalkannya.

"Penting untuk memastikan bahagian dalam diri anda sihat seperti luaran anda. Saya sentiasa membawa vitamin ke mana-mana. Itu mungkin perkara paling penting dalam beg kecantikan saya.

"Apa yang anda makan, apa yang anda minum, dan apa yang anda tidak hisap seperti rokok - semuanya memberi kesan besar kepada kulit, terutama apabila anda semakin berusia.

"Sangat penting untuk 'memberi makan' kepada bahagian dalam kulit anda, sama seperti anda menjaga bahagian luar kulit," katanya.

Mirren membawakan watak Maeve Harrigan, ketua keluarga Harrigan dalam filem MobLand arahan Guy Ritchie, bersama pelakon Pierce Brosnan.

Beliau juga membintangi filem adaptasi Netflix akan datang, Thursday Murder Club, berdasarkan siri novel karya pengacara dan penulis Richard Osman. Dalam filem itu, Mirren bergandingan dengan Brosnan, Celia Imrie dan Sir Ben Kingsley sebagai sekumpulan pesara yang meluangkan masa menyelesaikan kes pembunuhan lama.

-- BERNAMA




#Helen Mirren #selebriti #aktres #Hollywood #ulang tahun