Hero Remaja kembali mencari bakat-bakat baharu

Asyraf Roslan
Februari 11, 2020 12:57 MYT
Wajah-wajah finalis yang akan bersaing untuk merebut gelaran Hero Remaja 2020. - Foto Najmi Syahiran/ Astro AWANI
Selepas hampir empat tahun direhatkan, pencarian Hero Remaja kini kembali lagi.
Daripada 600 bakat baharu yang hadir ke ujibakat, akhirnya 12 finalis telah pun berjaya dipilih untuk merebut gelaran Hero Remaja.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal selepas hampir empat tahun Hero Remaja direhatkan, kembalinya platform ini akan dapat mengasah lebih banyak bakat-bakat baharu yang akan menyinari industri hiburan tanah air.
"Selepas empat tahun, kami harapkan mereka yang kami cari dan 12 finalis ini dapat memberi sesuatu dalam industri kita,"
"Kita bukan sekadar nak cari pelakon tapi kami nak cari pelapis seniman-seniman yang ada dalam industri ini," katanya ketika ditemui selepas sidang media Hero Remaja di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Selasa.
Untuk edisi kali ini, Pelakon dan pengacara Scha Al Yahya sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjadi juri tetap dalam program Hero Remaja disamping penerbit dan pengarah, Datuk Hans Isaac.
Hero Remaja kali ini akan dikendalikan oleh Ain Edruce dan akan mula bersiaran pada 27 Februari 2020 jam 9 malam di Astro Ria dan Astro Ria HD.
#Ain Edruce #Astro Ria #Dewi Remaja #Hans Isaac #Hero Remaja #industri hiburan #Scha Al Yahya