[TERKINI] Lagi Kes Serangan Seksual di Sekolah: 4 Pelajar Ditahan di Baling – Klik untuk Laporan Penuh
HIBURAN

Himpunan 1000 Rockers 4.0 sasar kejayaan lebih besar hujung bulan ini

Raja Hisyam Raja Zaid 15/10/2025 | 12:32 MYT
Himpunan 1000 Rockers 4.0 akan berlangsung pada 31 Oktober di Tanjung Harapan, Port Klang.
HIMPUNAN 1000 Rockers yang memasuki edisi keempat penganjuran sejak 2017 kembali lagi hujung bulan ini.


Ringkasan AI
  • Himpunan 1000 Rockers 4.0 akan berlangsung pada 31 Oktober di Tanjung Harapan, Port Klang, dianjurkan oleh Zack Masa Legacy sebagai kesinambungan kejayaan edisi sebelumnya.
  • Acara kali ini menampilkan lebih banyak band rock kapak tersohor dan bertujuan mengeratkan silaturahim antara artis serta peminat genre rock tanah air.
  • Penganjuran dilakukan secara inisiatif sendiri tanpa bantuan pihak luar, dengan harapan agar edisi keempat ini mendapat sokongan lebih luas termasuk daripada sektor kerajaan.


Menurut penganjur, Zack Masa Legacy, ia rentetan kejayaan mengumpulkan sejumlah besar peminat rock tanah air serta rakan artis pada edisi terdahulu.

Penganjuran acara kali ini, menurutnya, akan membabitkan lebih banyak lagi persembahan kumpulan rock kapak tersohor.

Himpunan 1000 Rockers 4.0 yang dijadual diadakan di Tanjung Harapan, Port Klang pada 31 Oktober ini memberi ruang lebih besar kepada peminat yang bakal hadir.

"Jumlah band rock yang akan menjayakan persembahan sempena himpunan ini sebenarnya ramai. Jika sebelum ini kita pernah hadirkan sekitar 17 buah band, namun kita sasarkan jumlah tersebut lebih daripada itu.

"Penganjuran ini sebenarnya kekal untuk memberikan fokus utama iaitu mengeratkan tali silaturahim dalam kalangan artis dan juga peminat tegar rock kapak," katanya kepada astro AWANI.

Penganjuran Himpunan 1000 Rockers edisi 3.0 sebenarnya juga telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penganjuran himpunan peserta rock terbesar pernah diadakan.


Menurut Zack, kejayaan itu dicapai ketika dia membawakan himpunan tersebut di Tawau, Sabah yang berjaya mengumpulkan jumlah rockers melebihi 1,000 orang pada satu malam.

Melihat kejayaan tersebut, dia yakin momentum itu mampu dijelmakan juga di Klang hujung bulan ini, malah menyasarkan peningkatan jumlah penonton berbanding di Tawau.

Segala kos penganjuran acara ini, katanya, adalah hasil inisiatif sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak setakat ini.

Walaupun memiliki impian besar untuk mengadakannya pada skala lebih besar, namun kemampuan yang ada ketika ini agak terhad.

"Sebelum ini untuk band yang beraksi pada awalnya kita hanya mampu memberikan token sahaja kepada mereka disebabkan tujuan asal ia diadakan adalah untuk mengeratkan silaturahim sahaja.

"Namun untuk edisi keempat ini, kita akan beri lebih daripada apa yang kita mampu sebelumnya.

"Saya juga berharap agar kejayaan penganjuran (kali keempat ini) akan mampu membuka mata kepada pihak-pihak tertentu, termasuk sektor kerajaan, untuk turut sama menyokong penganjuran seperti ini," katanya lagi.

Menurut Zack, penganjuran sebegini juga sebenarnya sangat membantu kumpulan rock tanah air yang pernah melalui era gemilang satu ketika dahulu yang mahu membuat 'comeback' tetapi tidak memiliki kemampuan dan saluran yang betul.

"Ramai sebenarnya dalam kalangan mereka yang masih berjuang dengan karya mereka, namun sebahagian besar tidak mampu kembali disebabkan pelbagai faktor. Usaha himpunan ini sedikit sebanyak memberikan mereka ruang bagi tujuan itu.

"Kepada band-band yang ada sekarang ini bolehlah turut sama dengan kita kerana kita sama-sama membantu dan mempamerkan karya-karya terbaharu yang ada," katanya lagi.










#Himpunan 1000 Rockers 4 #Tanjung Harapan Port Klang #band rock kapak #Zack Masa Legacy