[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
HIBURAN

Iaman & Saputra dinobat juara The Chosen One XTRA, bawa pulang RM40,000

Astro Awani 13/09/2025 | 05:00 MYT
Barisan finalis The Chosen One XTRA 2025 bergambar sambil meraikan kemenangan bersama. -Gambar Astro
PERSEMBAHAN bertenaga dan versatil daripada gandingan Iaman dan kumpulan Saputra berjaya memukau barisan juri dan menobatkan mereka sebagai juara program realiti The Chosen One XTRA 2025.


Ringkasan AI
  • Iaman dan kumpulan Saputra dinobatkan juara The Chosen One XTRA 2025 dengan persembahan bertenaga di bawah bimbingan Naqiu.
  • Mereka memenangi RM40,000 dan trofi kejuaraan serta Anugerah Persembahan Terbaik bernilai tambahan RM10,000.
  • Naqiu turut diangkat sebagai Coach Terbaik, manakala tempat kedua hingga keempat dimenangi oleh pasukan Achey, Usop dan Nikki.


Di bawah bimbingan jurulatih Naqiu, persembahan mereka menerusi rangkaian lagu Ayuh, Evo, Joget Angan Tak Sudah, dan Ya La Dan (lagu asal Allahyarham Datuk Sharifah Aini) menyerlahkan gabungan vokal mantap dan elemen seni pentas yang menghiburkan.

Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta trofi kejuaraan.

Mereka turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Persembahan Terbaik dan menerima tambahan RM10,000.

Naqiu selaku jurulatih pula diangkat sebagai ‘Coach Terbaik’, sekali gus menerima trofi dan hadiah wang tunai RM10,000.

Naib juara menjadi milik Rayyan dan Dahlya dari pasukan Achey yang membawa pulang RM30,000, diikuti Alif dan Yusof dari pasukan Usop di tempat ketiga dengan ganjaran RM20,000.

Manakala pasangan Iman dan Adawiya dari pasukan Nikki menduduki tempat keempat dan memenangi RM10,000.

xxx


Konsert akhir yang disiarkan secara langsung dari Visual Tree Studio ini turut diserikan dengan kehadiran juri profesional seperti Datuk Ramli MS, Datuk M. Nasir, Datuk Awie dan Sharifah Shahirah.

The Chosen One XTRA dihoskan oleh Nabil Ahmad dan ditayangkan secara langsung di Astro Ceria (saluran 611), selain boleh distrim melalui aplikasi Astro GO dan sooka.



#The Chosen One XTRA #Iaman dan Saputra #naqiu #persembahan terbaik