'Ibu wanita terakhir saya' - Fattah Amin

Madiha Abdullah
Mei 1, 2017 10:10 MYT
'Siapa pun pilihan saya, perlu dapat restu ibu bapa terlebih dahulu'. -FOTO Instagram Fattah Amin
PELAKON popular, Fattah Amin, membuat pendedahan bahawa 'wanita terakhir' yang selama ini menjadi inspirasinya adalah ibunya, Azizah Abdul Ghani.
Dalam kemas kini status di laman sosial, hero "Suri Hati Mr Pilot" menjelaskan ibunya ialah wanita istimewa yang menjadi tulang belakang kejayaan yang diperolehnya ketika ini.
Tidak menafikan lagu "Wanita Terakhir" dendangannya adalah ilham kisah cintanya satu ketika dahulu, namun menurut Fattah, segalanya sudah berakhir.
"Sedangkan ibu, wanita pertama dan terakhir, tetap di sini bersama saya di mana jua saya berada, apa jua keadaan saya," tulisnya.
'Wanita Terakhir' adalah siri cenderahati yang dikeluarkan Fattah untuk para peminatnya dalam pelbagai bentuk.
Selain lagu, turut menggunakan 'jenama' yang sama adalah novel terbaharunya, selain koleksi haruman.
Fattah, 27, yang kini sibuk di lokasi penggambaran "Hero Seorang Cinderella" meminta agar peminat mendoakan jodoh yang terbaik buatnya.
"Saya cukup menghargai doa daripada para peminat tentang jodoh saya, namun buat masa ini, biarlah semua itu menjadi rahsia Allah kerana sesungguhnya semua itu adalah perancanganNya," tulis Fattah.
Sebelum ini, istilah "wanita terakhir" yang digunakan Fattah kerap dikaitkan dengan heroinnya dalam "Suri Hati Mr Pilot", Neelofa.
#Fattah Amin #Neelofa #Suri Hati Mr Pilot #Wanita Terakhir