HIBURAN

IKLIM kekal dibubarkan, Nada IKLIM adalah daripada restu kami - Umarul & Mohalim

Raja Hisyam Raja Zaid 21/12/2025 | 07:00 MYT
Nada IKLIM dianggotai oleh Rashid selaku gitaris dan ketua kumpulan, Cdee (pemain bass), Wandy (vokalis), Asrie (pemain dram), dan Im (pemain keyboard).
AGAK mengejutkan apabila bekas gitaris IKLIM, Umarul, tampil beraksi bersama sebuah kumpulan muzik baharu selepas beliau dan Mohalim mengumumkan pembubaran IKLIM tidak lama dahulu.


Ringkasan AI
  • Umarul, bekas gitaris IKLIM, tampil bersama kumpulan Nada IKLIM selepas pembubaran IKLIM, dengan vokalis memiliki suara mirip arwah Salim.
  • Kumpulan Nada IKLIM ditubuhkan November lalu setelah Rashid, pemain gitar, mendapat restu dari Umarul dan Mohalim untuk membawa lagu-lagu IKLIM.
  • Mohalim dan Umarul sedang menyiapkan single untuk Nada IKLIM dalam usaha meletakkan mereka sebagai 'pewaris' dalam industri muzik tanah air.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Umarul yang juga komposer dan penerbit sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk bersara daripada bermain gitar selepas pembubaran kumpulan legenda dari Pantai Timur itu.

Malah, vokalis yang membuat persembahan bersamanya itu memang diakui memiliki iras suara milik arwah Salim yang sentiasa dirindui oleh peminat tegar IKLIM.

Ketika bertemu dengan Umarul pada Sabtu, anak jati Kampung Ladang, Kuala Terengganu itu sekali lagi menegaskan bahawa IKLIM kekal terbubar, tetapi apa yang dilihat dalam persembahan di Johor baru-baru ini adalah kumpulan Nada IKLIM yang ditubuhkan khas untuk menghiburkan peminat mereka dengan mendendangkan lagu-lagu yang pernah menjulang nama IKLIM satu ketika dahulu.



Menurut Umarul, kumpulan itu ditubuhkan November lalu selepas Rashid, pemain gitar, hadir menemuinya untuk mendapatkan restu membawakan lagu-lagu IKLIM.

"Saya dan Mohalim melihat kesungguhan dan kemampuan mereka untuk membawakan lagu-lagu IKLIM.

"Malah vokalis yang mereka ada ketika ini juga memiliki kualiti suara yang agak bagus.

"Justeru, saya dan Mohalim bersetuju untuk memberi keizinan kepada mereka untuk mengadakan persembahan dengan membawa nama Nada IKLIM.

“Tidak timbul soal IKLIM dihidupkan semula kerana mereka boleh dianggap sebagai kumpulan ‘cover’ yang membawakan lagu-lagu kami dahulu.

"IKLIM kekal terbubar dan tiada penubuhan semula,” katanya kepada Astro AWANI.

Sementara itu, Rashid mengakui ramai sebenarnya gembira apabila Nada IKLIM diwujudkan terutamanya membabitkan peminat setia kumpulan legenda rock balada itu untuk sekurang-kurangnya melepaskan kerinduan mereka setelah sekian lama tidak melihat IKLIM sebenar beraksi.

Idea penubuhannya, jelas Rashid, hadir ketika beliau menerima banyak pertanyaan daripada pihak penganjur persembahan yang mahukan kelibat asal IKLIM iaitu Umarul dan Mohalim kembali beraksi.

"Saya mengambil inisiatif untuk bertemu dan menghubungi Umarul dan Mohalim untuk menyatakan hasrat kami itu dan alhamdulillah mereka menerima dengan baik dan memberi restu kepada kami.

"Penyanyi yang kami ada ketika ini iaitu Wandy juga sebenarnya adalah cadangan oleh Mohalim sendiri dan beliau bukanlah asing dengan anggota IKLIM sebelum ini.

"Bagaimanapun, kami sedar, nama IKLIM adalah besar dan mereka mempunyai ramai peminat.

"Namun sokongan yang diberikan oleh mereka berdua membuatkan kami lega dan setakat ini peminat memberikan respons yang sangat baik," jelasnya ketika menceritakan susur-galur penubuhan kumpulan Nada IKLIM.

Nada IKLIM ketika ini dianggotai oleh Rashid selaku gitaris dan ketua kumpulan, Cdee (pemain bass), Wandy (vokalis), Asrie (pemain dram) dan Im (pemain keyboard).



Wandy, anak jati Besut, diakui memiliki suara mirip Allahyarham Salim, sekali gus mengubat rindu peminat.

Menurut Wandy, beliau pernah diundang oleh IKLIM untuk beberapa persembahan selepas kematian Salim.

"Selepas Allahyarham Salim meninggal dunia, IKLIM ada beberapa kali menawarkan kepada beliau untuk menjayakan beberapa persembahan.

"Ketika itu IKLIM sering bertukar penyanyi namun ia tidak lah lama sebelum kumpulan itu dibubarkan.

"Justeru, kewujudan Nada IKLIM menawarkan posisi selaku vokalis mereka untuk membawakan lagu-lagu IKLIM ini ibarat pucuk dicita, ulam mendatang buat saya yang sememangnya meminati IKLIM sejak di bangku sekolah lagi.

"Lebih bertuah apabila Umarul dan Mohalim sudah memberi restu kepada kami," jelas Wandy.

Tambahnya, dia dan Mohalim sebenarnya sudah lama bersahabat dan saling bertemu dan berhubung bagi mendapatkan nasihat antara lain mengenai perkembangan muzik.

Sementara itu, Mohalim yang dihubungi Astro AWANI mengesahkan perkara itu selain berkata kebenaran menggunakan jenama IKLIM bertitik-tolak daripada kesungguhan dan kemampuan yang dipamerkan kugiran itu.

"Wandy memang sahabat saya yang saya kenal agak lama juga, namun untuk membenarkan mereka menyanyi dan membawakan jenama IKLIM saya agak mengambil masa sebenarnya.

"Namun selepas melihat kesungguhan dan kemampuan yang dimiliki mereka, saya yakin mereka akan membanggakan kami dan peminat kami satu hari nanti," kata Mohalim.

Beliau turut mengakui kekuatan yang dimiliki oleh Nada IKLIM dan berharap agar kumpulan itu mampu terbang lebih jauh dalam industri muzik tanah air.

Malah, menurutnya, dia dan Umarul sedang giat menyiapkan single untuk Nada IKLIM dalam usaha meletakkan mereka sebagai 'pewaris' dan mendapat tempat dalam industri hiburan tanah air.

"Saya dan Umarul sebenarnya sudah ada dua lagu untuk dihadiahkan kepada Nada IKLIM, dan proses untuk menyiapkannya sedang giat dijalankan ketika ini.

"Saya melihat Nada IKLIM sememangnya ada potensi untuk diketengahkan dalam industri tanah air.

“Insya-Allah mereka akan berdiri dengan kaki sendiri untuk meneruskan perjuangan muzik dengan bimbingan kami,” katanya.

Menyentuh mengenai penggunaan nama IKLIM, Mohalim menegaskan bahawa nama IKLIM tidak boleh digunakan oleh mana-mana pihak kecuali Nada IKLIM yang mendapat restu rasmi.

Beliau mengakui agak sedikit kecewa apabila ada pihak yang sebelum ini cuba menggunakan nama tersebut untuk mengambil kesempatan mengadakan persembahan.

"Sepertimana ditegaskan sebelum ini, saya selaku pengasas IKLIM tidak pernah memberikan sebarang kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama IKLIM, malah ada pihak yang cuba menggunakanya sebelum ini sudah diberi teguran.

"Sekali lagi saya ingin nyatakan bahawa IKLIM sudah tiada dan Nada IKLIM yang ditubuhkan ini bukanlah bertujuan menggantikan IKLIM yang asal tetapi mereka adalah kumpulan baharu untuk membawakan lagu-lagu popular mereka dahulu.

"Dalam masa ke depan ini, Insya-Allah mereka akan berdiri dengan kaki mereka sendiri untuk meneruskan perjuangan mereka dengan dibimbing oleh kami yang sudah memberikan restu di atas penubuhan kumpulan ini," kata Mohalim menutup perbualan.










Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah yang menyebabkan pembubaran kumpulan IKLIM?
    A: Pembubaran kumpulan IKLIM berlaku tidak lama dahulu, namun bekas gitaris Umarul telah menyatakan hasrat untuk bersara daripada bermain gitar.
  • Q: Apakah yang membuatkan kumpulan Nada IKLIM ditubuhkan?
    A: Kumpulan Nada IKLIM ditubuhkan selepas pemain gitar Rashid hadir menemu Umarul untuk mendapatkan restu membawakan lagu-lagu IKLIM, selepas menerima banyak pertanyaan daripada penganjur persembahan.
  • Q: Apakah reaksi peminat terhadap penubuhan kumpulan Nada IKLIM?
    A: Peminat memberikan respons yang sangat baik terhadap Nada IKLIM, dengan banyak yang gembira dapat melihat kumpulan tersebut menghiburkan mereka.
  • Q: Apakah perbezaan antara kumpulan Nada IKLIM dengan IKLIM yang asal?
    A: Nada IKLIM bukan bertujuan menggantikan IKLIM yang asal tetapi sebagai kumpulan baharu untuk membawakan lagu-lagu popular IKLIM dahulu, dengan restu rasmi daripada Umarul dan Mohalim.
  • Q: Apakah harapan Mohalim terhadap Nada IKLIM?
    A: Mohalim berharap agar Nada IKLIM mampu terbang lebih jauh dalam industri muzik tanah air, dan sedang giat menyiapkan single untuk mereka sebagai langkah meletakkan mereka sebagai pewaris dalam industri hiburan.



#iklim #Nada IKLIM #Umarul #Mohalim #Salim