[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
HIBURAN

Impian Naungan sejak 2022 jadi kenyataan di RWMF 2025

Abdul Malek Jamaluddin 22/06/2025 | 04:00 MYT
Alex Rocksta’ menzahirkan rasa bangga kerana terpilih mewakili Malaysia membuat persembahan di RWMF 2025. - Astro AWANI
KUCHING: Kumpulan muzik instrumental tempatan, Naungan, memukau penonton di Rainforest World Music Festival (RWMF) 2025 dengan persembahan yang menyatukan elemen tradisional dan moden dalam satu pengalaman muzik yang unik dan menyentuh jiwa.
Terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, Naungan menggabungkan muzik dari kaum Cina, Melayu serta India.
Naungan yang ahlinya terdiri daripada Yi Mann (gu zheng), Alex Rocksta’ (ruan), Hao Zie (flute), Vick Ramakrishnan (tabla), Dr Pravin (sitar) dan Asri (rebana) menyampaikan karya asli mereka ‘Dancing with the shadows’ serta ‘Reboot’ di pentas RWMF 2025.
Ketika sedang media RWMF 2025 pada Sabtu di Damai Beach Resort, Santubong, Alex Rocksta’ menzahirkan rasa bangga kerana terpilih mewakili Malaysia membuat persembahan di RWMF 2025.
Menurut Yi Mann yang juga isteri kepada Alex Rocksta’ ketika Naungan ditubuhkan pada 2022, membuat persembahan di RWMF menjadi impian mereka.
Edisi RWMF ke-28 tahun ini pastinya menjadi kenangan terindah apabila mimpi tersebut menjadi kenyataan.
Melalui persembahan berlatarbelakangkan hutan hujan, persembahan Naungan di RWMF bertambah istimewa.
Ketika proses pembikinan lagu, mencari keserasian bunyi supaya setiap alat muzik dapat didengari adalah cabaran dan peluang menghasilkan muzik yang unik.
“Kami memainkan instrumen etnik, tiada ‘bass’, drum, gitar dan papan nada, jadi ia benar-benar bunyi asli dan organik.
“Jadi menggabungkan alat-alat muzik ini pastinya salah satu daripada cabarannya,” jelas Yi Mann.
Karya asli daripada Naungan berbeza dengan muzik rakyat kerana suntikan muzik kontemporari.
Sebagai contoh, walaupun menggunakan alat muzik etnik tetapi gabungan genre muzik ‘rock’ dan ‘blues’ berjaya direalisasikan pada lagu Reboot.
Perbezaan adalah kekuatan muzik Naungan, meski kadangkala terdapat perselisihan pendapat di studio berkenaan nota muzik, namun akhirnya persetujuan berjaya dicapai.
Setiap alunan melodi Naungan seolah-olah menghubungkan warisan pelbagai kaum di Malaysia, sejajar dengan misi kumpulan ini untuk memupuk perpaduan melalui bunyi.
Naungan membuktikan bahawa muzik instrumental mampu menyampaikan emosi mendalam dan mesej perpaduan yang kuat.
Akhirnya, kemunculan mereka di RWMF menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkenalkan keindahan muzik Malaysia ke persada dunia dengan mengekalkan jati diri dan keharmonian kaum melalui muzik.
#Naungan #RWMF 2025 #Damai Beach Resort #hutan hujan