[TERKINI] SARA RM100 untuk Warganegara 18 Tahun ke Atas: Tebus Guna MyKad – Baca Panduan Penuh Di Sini
HIBURAN

Impian Yonnyboii kerjasama dengan Malique jadi kenyataan

Sinar Harian 23/07/2025 | 04:30 MYT
Menurut Yonnyboii, banyak momen bermakna berlaku sepanjang proses pembikinan lagu Tanya Tuhan. - Sinar Harian
PENYANYI dan komposer berbakat, Yonnyboii menyifatkan lagu terbaharunya berjudul Tanya Tuhan sebagai pencapaian paling tinggi dalam kerjayanya apabila impian untuk bekerjasama dengan Malique akhirnya menjadi kenyataan.


Ringkasan AI
  • Yonnyboii anggap kolaborasi dengan Malique untuk lagu "Tanya Tuhan" sebagai pencapaian tertinggi dalam kerjayanya, satu impian yang akhirnya tercapai.
  • Lagu tersebut menggambarkan pergelutan hidup Yonnyboii, termasuk rasa 'burnout' dan keraguan diri, serta ditulis bersama Malique dengan produksi oleh LastKhalif.
  • Video muzik diarahkan oleh Thaqif, sahabat rapat Yonnyboii, dan disifatkan sebagai hasil kerjasama terbaik yang diharap dapat diteruskan ke projek lain.


Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin itu, peluang berkolaborasi bersama penerbit muzik ikonik tersebut bukan sekadar mimpi, bahkan satu kemenangan bermakna buat dirinya dari pelbagai sudut.

"Ada hal tidak terduga seperti dapat berjumpa dan bekerja dengan insan-insan yang hebat belaka. Saya sangat berbangga, rasa kerdil terhadap segala pengalaman saya raih itu.

“Ini satu daripada pencapaian peribadi tertinggi saya dapat bekerja dengan seseorang yang sangat hebat. Terima kasih pengurusan jadikan cita-cita saya jadi realiti dan perhebatkan lagi idea saya.

“Memang saya tidak sangka dapat bekerjasama dengan Malique. Dia adalah satu daripada impian dalam senarai wajib capai saya. Memang gila, saya pun tidak boleh hadam lagi ada lagu bersamanya,” katanya.

Lagu Tanya Tuhan turut membawa mesej peribadi yang mendalam, diinspirasikan daripada pengalaman sebenar hidupnya ketika terjerat dalam persoalan dan rasa keraguan.

Menerusi karya berkenaan, lirik ditulis hasil gabungan idea antara Yonnyboii dan Malique manakala LastKhalif bertindak sebagai penerbit keseluruhan projek.

Katanya, banyak momen bermakna berlaku sepanjang proses pembikinan lagu tersebut dan beliau menganggap pengalaman itu sebagai satu perjalanan indah yang akan terpahat dalam hati.

“Sewaktu menulis lagu ini, bukanlah mahu mengatakan saya sedang susah. Cuma ketika itu, saya menjauh daripada diri dan sangat emosional. Banyak pergelutan dalam hidup saya baik sebagai pemuzik dan bapa.

“Itulah, kadang-kadang kita penat, ‘burnout’. Jadi, kita tak tahu nak tanya siapa lagi. Bukanlah nak cakap semua hal berdepan kesulitan sekarang. Saya tidak tahu hendak mengadu pada siapa.

“Saya harap pendengar dapat fahami dan dalami apa yang saya rasakan. Semoga sampai dan mampu berkaitlah kisah saya ini dalam hidup mereka, terus jadi kuat sepanjang perjalanan," ujarnya lagi.

Penyanyi berusia 27 tahun itu turut berbesar hati apabila video muzik Tanya Tuhan turut dihasilkan bersama pengarah pilihan hatinya, Thaqif, yang juga sahabat baiknya dalam industri.

“Semoga jalinan kerjasama kami dapat diteruskan ke projek lain kerana bagi saya, dia adalah satu daripada pengarah terbaik dalam industri. Syukur sangat, dia boleh bersefahaman dengan idea saya,” katanya. -- Sinar Harian






#Yonnyboii #Malique #Tanya Tuhan #kolaborasi