KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berharap filem Malaysia berkembang merentasi sempadan etnik, kata pengerusinya Datuk Kamil Othman.

Beliau berkata adalah penting usaha yang kolektif ke arah mewujudkan landskap sinematik dengan setiap kisah dihasilkan menjadi cerita Malaysia yang menekankan perpaduan dalam kepelbagaian.

"Finas menantikan filem yang benar-benar bercirikan Malaysia supaya tiada pihak membezakan antara filem Tamil yang dihasilkan pembikin berbangsa Tamil, filem Melayu oleh orang Melayu atau filem Cina daripada pembuat filem Cina.

"Baru-baru ini kita menyaksikan tayangan perdana filem Kantonis yang diarahkan oleh pengarah Melayu. Beberapa tahun lepas, kita ada pengarah Cina yang membuat filem Melayu dan apabila kita melihat pada zaman awal filem Melayu, ia diarahkan oleh orang India, jadi kita mahukan lebih banyak usaha seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Malaysian Indian Creative Awards (MICA) kali ketiga di sini Khamis lepas.

Merujuk kepada pembikin filem dan pelakon ikonik Malaysia Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Kamil berkata bintang legenda itu mendapat inspirasi daripada sumber asal dalam industri filem Tamil Nadu.

Kamil turut membayangkan usaha bersatu untuk mengukir hala tuju filem Malaysia baharu yang meraikan penceritaan tanpa membezakan latar belakang etnik pembikin filem berkenaan.

Beliau berkata industri filem India Malaysia turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, terutamanya melalui pelancongan, pengangkutan dan peluang pekerjaan, dan menyatakan kepentingan filem tempatan merangkumi pelbagai elemen budaya.

"Saya perhatikan, filem-filem dan gambar-gambar tempatan semua dah ada ciri-ciri daripada pelbagai kaum dan inilah satu arah yang kita perlu untuk mengembangkan lagi industri perfileman kita di sini," katanya.

Industri filem India Malaysia menurut Kamil, bukan sahaja meningkatkan reputasi negara di peringkat global termasuk Singapura, India dan baru-baru ini di negara Eropah, tetapi juga menyediakan peluang kepada bakat tempatan bekerjasama dengan artis antarabangsa, sekali gus memperkukuh integriti industri filem dan hiburan Malaysia.

Beliau berkata pengiktirafan terhadap industri filem India Malaysia sejak 1960-an, telah melahirkan bakat dan tokoh legenda seperti Tan Sri L. Krishnan yang digelar sebagai bapa industri filem Melayu.

-- BERNAMA