Interchange diiktiraf di peringkat Asia Pasifik

Gempak
September 4, 2018 08:00 MYT
Membawa genre supernatural noir, filem Interchange meraih Anugerah Kesan Khas Visual menewaskan empat calon akhir
FILEM arahan Dain Said yang pernah menjelajah pelbagai festival filem antarabangsa seluruh dunia sebelum ini terus meraih perhatian dunia apabila diiktiraf pada Festival Filem Asia Pasifik Ke-58 yang berlangsung di Taipei, Taiwan baru-baru ini.
Membawa genre supernatural noir, filem Interchange meraih Anugerah Kesan Khas Visual menewaskan empat calon akhir iaitu Jungle dari Australia, The Tag Along 2 (Taiwan), Villa Dwellers (Iran) dan The Soul of Himalaya (China).
Pada acara tersebut, filem ini juga tercalon bagi kategori Penataan Bunyi Terbaik bersama Birdshot (Filipina), The Tag Along 2 (Taiwan), The Right to Kill dan Respeto (Filipina).
Kesan visual bagi filem Interchange dihasilkan Mira Digital, Studio Voxel, Imagica SEA dan Tre14 Asia.
Merujuk pada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menerusi Instagramnya, @finasmalaysia, filem Adiwiraku arahan Eric Ong juga masuk pencalonan akhir bagi kategori Cerita Asal Terbaik pada acara yang sama.
Kali ini, Malaysia membawa empat filem tempatan untuk bertanding di sana termasuk Hanyut dan Abang Long Fadil 2.
"Penyertaan Malaysia di festival filem antarabangsa yang dianjurkan semenjak tahun 1954 ini adalah selaras dengan keahlian Malaysia melalui Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) di dalam Badan Penerbit Filem Cereka Asia Pasifik yang dianggotai 23 buah negara yang lain di rantau Asia Pasifik.
"Tahun lalu, Malaysia berjaya meraih anugerah Pengarah Terbaik buat Syamsul Yusof untuk filem Munafik dan Penyunting Terbaik untuk Gwyneth Lee bagi filem Ola Bola di mana dari penganjuran edisi pertama sehingga ke APFF 58, filem-filem Malaysia telah meraih sejumlah 56 buah anugerah," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
#anugerah #dain said #festival filem asia pasifik #filem #interchange #Malaysia #Taipei