HIBURAN

Iskandar Ismail berjaya muncul juara Gegar Vaganza 12

Astro Awani 18/01/2026 | 16:21 MYT
Iskandar Ismail dinobat juara GV12, menewaskan 5 penyanyi lain dan membawa pulang RM100,000 serta trofi.
KUALA LUMPUR: Iskandar Ismail atau lebih dikenali sebagai Eiss berjaya bergelar juara di pentas akhir Gegar Vaganza 12 (GV12) hari ini.

GV12 kali ini menyaksikan Eiss mendendangkan lagu Madah Berhelah berjaya mengalahkan lima penyanyi yang lain dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan sebuah trofi.

Eiss turut menampilkan persembahan yang mantap apabila digandingkan dengan penyanyi tersohor Jaclyn Victor untuk lagu Senja Nan Merah.

Untuk rekod, Eiss merupakan penyanyi ketiga dari Singapura bergelar juara, selepas Aliff Aziz memenangi GV8 dan Hady Mirza menjuarai GV6 bersama Naqiu.

Naib juara dimenangi oleh trio Indonesia, Mendua, yang mempersembahkan lagu Jikalau Kau Cinta dan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.

Mendua terdiri daripada Hendra Purnanto (Pungky), Marisha Friska Halauwet (Sasha) dan Diana Puspitasari (Diana).

Sementara itu Ahmad Nubhan Ahamad atau lebih mesra dipanggil Nubhan dengan dendangan lagu Cuba berjaya memenangi tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.

Manakala Mark Adam pula merangkul tempat keempat, diikuti Mell Sakura di tempat kelima dan Ruri Repvblik di tempat keenam.

Penonton turut dihidangkan dengan persembahan penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah yang mendendangkan lagu Kau Lupa Janji.

GV12 yang bersiaran secara langsung selama 12 minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam dikendalikan oleh hos Nabil Ahmad dan Sherry Al-Hadad.

Sementara itu, barisan juri tetap terdiri daripada Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat, dan Datuk Ramli M.S.



#Gegar Vaganza #GV 12 #Iskandar Ismail #hiburan