PELAKON, pelawak dan penyanyi popular 1980-an, Isma Aliff dikhabarkan sedang ditidurkan di sebuah hospital.

Perkara itu dimuat naik sahabatnya yang juga pelakon, Ebby Saiful Ali menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.

"Mohon pada sahabat-sahabat sekalian untuk mendoakan kesihatan sahabat saya pelakon, pelawak dan penyanyi, Isma Aliff yang kini berada di hospital dan sedang ditidurkan.

"Semoga segera diberi kesembuhan, amin Ya ALLAH," kongsinya.


Difahamkan, Isma Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail, 59, berada dalam keadaan kritikal selepas dikesan mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru.

Pelakon filem Marah-Marah Sayang itu sudah berada di hospital sejak Jumaat lalu kerana mendapat serangan angin ahmar.

Untuk rekod, Isma Aliff pernah membintangi filem seperti Jaket Biru dan Sayang Ibu.

Selain itu, beliau juga aktif dalam drama dan pernah berlakon di bawah arahan Aziz M Osman pada tahun 2000 menerusi drama Romeo.

Isma Aliff juga pernah menghasilkan empat buah album sendiri iaitu Eksyen Saja, Dengar Tau, Kembara Duka dan Macam-Macam Ada. -Sinar Harian