Karya-karya sastera tidak seharusnya dihayati dengan pembacaan semata-mata tetapi boleh juga diadaptasi kepada menjadi sebuah skrip teater atau filem.

Menyedari bahawa karya-karya sastera mampu meningkatkan pemikiran bangsa, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) bakal mementaskan teater Topeng Topeng yang diadaptasikan dari puisi Sasterawan Negara, Datuk Baha Zain.

Ketua Pegawai Esekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron berkata pementasan teater Topeng Topeng ini merupakan dedikasi khusus buah Baha Zain atas sumbangan besar beliau dalam mencerdikan akal budi bangsa melalui bait-bait puisinya.

Katanya, usaha ini juga merupakan antara inisiatif ITBM selaku penerbit untuk memasyarakatkan sastera kepada rakyat.

"ITBM melihat bahawa sesebuah buku untuk diterbitkan bukan hanya untuk dibaca, tetapi boleh disebarluaskan dengan menghasilkan karya berpandukan kreativiti seperti pementasan teater.

"Kami konsisten dalam usaha mengadaptasi buku (karya terbaik yang mempunyai nilai tambah) kepada bentuk teater.

"Ini merupakan inisiatif ITBM untuk mengangkat sastera serius sebagai usaha bersama-sama Kerajaan bagi meningkatkan pemikiran bangsa" katanya pada sidang media teater Topeng Topeng baru-baru ini.

Pementasan semula Topeng Topeng diusahakan bersama produksi Stefani Events atau dulu dikenali Sanggar Teater Fauziah Nawi.

Bagi Fauziah yang juga pengarah teater ini, keindahan bahasa dan kehalusan sindiran yang ada dalam puisi Topeng Topeng menjadi tarikan utama beliau untuk dipentaskan.

"Melihat kepada kehebatan puisi Topeng Topeng ini, saya rasa terpanggil untuk mementaskannya dalam bentuk teater dan setelah mendapat persetujuan Baha Zain, saya berbincang dengan pihak ITBM.

"Ternyata kedua-dua perjumpaan dan perbincangan ini menemui jalan yang baik," jelas Fauziah pada sidang media yang sama.

Topeng Topeng sebelum ini pernah dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2008.

Topeng Topeng akan dipentaskan selama lima hari bermula 8 hingga 12 September ini di Dewan Wisma ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Tiket dijual pada harga RM15 manakala RM 10 bagi pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi. Tiket-tiket boleh dibeli di Kaunter Khidmat Pelanggan ITBM atau hubungi Norzaiti Abdul Talib 03-41451840.