HIBURAN

Jenazah seniwati Sophia Ibrahim selamat dikebumikan

Bernama 06/05/2025 | 07:15 MYT
Rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Seniwati Sophia Ibrahim yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Jenazah seniwati Sophia Ibrahim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda di sini, kira-kira 10 pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Allahyarham Sophia Ibrahim, 77, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah selepas meninggal dunia akibat asma di sebuah hospital swasta.
  • Lebih 100 individu, termasuk ahli keluarga dan rakan artis seperti Norlia Ghani dan Maimunah Ahmad, hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
  • Adiknya, Datuk Khadijah Ibrahim, berkongsi bahawa Allahyarham kerap bertemu sahabat kebelakangan ini seolah-olah ingin mengucapkan selamat tinggal, namun tidak menunjukkan tanda sakit serius.


Terdahulu, jenazah disolatkan di Surau Al Hijrah, Taman Bolton, Batu Caves kira-kira 9.30 pagi.

Lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, kenalan dan rakan artis hadir memberi penghormatan terakhir termasuk Norlia Ghani, Maimunah Ahmad, Mohamad Mubarak Abdul Majid dan Amran Nasrudin.

Sophia, 77, anak sulung daripada 12 beradik termasuk Datuk Khadijah Ibrahim dan Allahyarham Latif Ibrahim, meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada 7.15 malam tadi akibat asma.

Allahyarham mula aktif dalam dunia lakonan seawal usia 15 tahun menerusi filem Ragam P Ramlee (1964) sebelum menyerlah dengan filem seperti Dr Rushdi, Cinta 200 Ela, Pontianak Harum Sundal Malam dan Puteri Impian.

Adik kepada Allahyarham Seniwati Sophia Ibrahim, Datuk Khadijah Ibrahim, hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Foto Bernama


Sementara itu, Khadijah berkata kakaknya kerap mengalami serangan asma kebelakangan ini, namun tidak menunjukkan tanda sakit yang serius.

Beliau berkata kakaknya itu juga gemar menghabiskan masa bertemu sahabat handai seolah-olah mahu mengucapkan selamat tinggal.

"Dia asyik berjumpa kawan-kawan...tiap-tiap hari ada saja perjumpaan. Macam dia nak ucap selamat tinggal. Tapi saya bersyukur, saya dapat pulang dari Sabah awal pagi tadi untuk lihat jenazah buat kali terakhir," katanya.

-- BERNAMA





#seniwati Sophia Ibrahim #selamat dikebumikan #Khadijah Ibrahim #meninggal dunia #terkini