Mungkin tidak ramai yang mengenali kumpulan lima adik beradik ini yang pernah seketika dahulu mewarnai arena muzik antarabangsa.

The Jackson 5 (kini Jacksons) yang aktif dari tahun 1966 hingga 1989 sering bereksperimen dalam muzik R&B, soul, pop dan disko.

Antara lagu hit mereka ialah "I Want You Back", "ABC", "The Love You Save", dan "I'll Be There".

Salah seorang ahli kumpulan tersebut, Jermaine Jackson berkata, rahsia kejayaan kumpulan popular itu adalah kerana rahmat daripada Allah SWT.

“Saya bersyukur dengan rahmatNya. Kami adalah satu keluarga bekerja kuat dan berjuang demi muzik dengan bimbingan ibu dan ayah.

“Dalam masa yang sama, sebagai sebuah kumpulan ketika itu, sememangnya kami mahu muzik yang kami hasilkan sentiasa ‘hidup’ dan digemari ramai sepanjang zaman,” kata Jermaine yang sempat meluangkan masa melawat pejabat Astro AWANI hari ini.

Jermaine yang berusia 60 tahun merupakan anak keempat daripada pasangan Joseph dan Katherine Jackson serta abang kepada penyanyi pop sensasi, Michael Jackson.

Kumpulan yang berasal dari Gary, Indiana ini dianggotai lima adik beradik iaitu Marlon, Jackie, Tito, Michael dan Jermaine.

Namun, mereka kini hanya berempat setelah kematian penyanyi utamanya, Michael pada tahun 2009.

The Jacksons berkunjung ke Malaysia untuk membuat persembahan sempena Festival F1, Petronas Malaysia Grand Prix Gala 2015 di KLCC pada 26 Mac ini.

Saksikan temu bual penuh bersama Jermaine dalam mengimbas detik-detik gemilang The Jacksons.