Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
HIBURAN

Jet Li selamat jalani pembedahan buang tumor

Astro Awani 19/08/2025 | 04:30 MYT
Jet Li berterima kasih atas sokongan peminat dan bergurau bahawa tubuhnya telah 'dibaiki di kilang'. -Gambar media sosial
BINTANG aksi terkenal antarabangsa, Jet Li, dilaporkan selamat menjalani pembedahan membuang tumor baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Jet Li selamat menjalani pembedahan membuang tumor 'benign' kecil yang tidak membahayakan nyawa.
  • Beliau berkongsi perkembangan kesihatan melalui Douyin dan Weibo, termasuk gambar di hospital dan selepas keluar.
  • Jet Li berterima kasih atas sokongan peminat dan bergurau bahawa tubuhnya telah 'dibaiki di kilang'.


Pelakon berusia 62 tahun itu berkongsi perkembangan terbaharu melalui platform media sosial Douyin dan Weibo, sekali gus meredakan kebimbangan peminat terhadap tahap kesihatannya.

Jet Li memuat naik beberapa gambar dan video dirinya di hospital, termasuk ketika sedang ditolak ke bilik pembedahan serta selepas prosedur selesai.

“Saya baru sahaja menghadapi satu lagi cabaran yang tidak dijangka,” tulisnya di kapsyen, sambil bergurau bahawa ‘perkakasan’ tubuhnya rosak dan dihantar semula ke ‘kilang’ untuk dibaiki.

Menurut laporan media Taiwan yang memetik kenyataan rakan rapatnya, Tiffany Chen, pembedahan itu bertujuan membuang tumor 'benign' kecil yang tidak membahayakan nyawa.

Jet Li turut memuat naik gambar dirinya menikmati semangkuk mi selepas keluar hospital, sambil mengucapkan terima kasih atas doa dan sokongan peminat.

“Saya sudah keluar dari ‘kilang’ dan makan sesuatu yang lazat.

"Mi ini memang terbaik. Semoga semua sihat, selamat dan bahagia,” katanya dalam satu hantaran di Weibo.

Jet Li, yang dilahirkan di China dan kini merupakan warganegara Singapura, sebelum ini pernah mendedahkan bahawa beliau menghidap hipertiroidisme sejak 2010.





#Jet Li #hipertiroidisme #buang tumor #Bilik pembedahan