HIBURAN

Jimin, Jungkook tamat khidmat ketenteraan wajib

Agensi 11/06/2025 | 10:50 MYT
Ratusan peminat menyambut mereka berhampiran sebuah pangkalan tentera di daerah Yeoncheon, utara Korea Selatan, termasuk peminat yang datang sejauh dari Brazil dan Portugal. - foto REUTERS
YEONCHEON : Dua ahli kumpulan K-pop popular BTS, Jimin dan Jungkook, menamatkan perkhidmatan ketenteraan wajib mereka di Korea Selatan pada Rabu.

Ia sekaligus menjadikan mereka ahli kelima dan keenam yang melengkapkan khidmat tersebut, di tengah-tengah jangkaan peminat terhadap penyatuan semula kumpulan itu selepas hampir dua tahun berehat.

Ratusan peminat menyambut mereka berhampiran sebuah pangkalan tentera di daerah Yeoncheon, utara Korea Selatan, termasuk peminat yang datang sejauh dari Brazil dan Portugal.

“Sudah agak lama, daripada waktu COVID-19 hinggalah kami menjalani khidmat ketenteraan, dan saya amat berterima kasih kepada (peminat) yang telah menunggu kami.

“Kini setelah kami menamatkan perkhidmatan ketenteraan, saya percaya kami boleh terus membayangkan masa depan yang telah lama kami impikan bersama.

“Kami akan berusaha keras untuk menunjukkan versi diri kami yang lebih baik kepada anda semua,” kata Jimin.

Sementara itu, Jungkook turut mengucapkan terima kasih kepada ‘senior’ dalam perkhidmatan ketentraan dan ‘junior’ yang masih sedang berkhidmat serta rakan seangkatan.

“Yang paling penting, kepada pegawai atasan yang banyak berfikir tentang kami dan telah bertungkus-lumus menjalankan tugas, saya hanya ingin ucapkan terima kasih.

“Mereka telah banyak berkorban, sentiasa berada bersama kami, dan kami benar-benar menghargai cara mereka menjaga serta menyokong kami sepanjang tempoh (perkhidmatan) ini,” kata Jungkook.

Ahli kumpulan RM dan V menamatkan perkhidmatan mereka pada Selasa, manakala ahli terakhir yang akan menamatkannya ialah Suga pada 21 Jun.



#BTS #Jimin #Jungkook #K-pop #Korea Selatan