LOS ANGELES: Siapa tidak kenal dua bintang Hollywood ini, penyanyi masyhur dunia, Jennifer Lopez atau JLo dan aktor ternama, Ben Affleck.

Sejak kali pertama bertemu pada 2002, kisah percintaan mereka pernah menggemparkan industri hiburan dunia, namun, kisah cinta mereka hanya bertahan selama dua tahun sebelum kedua-duanya memutuskan hubungan pada 2004.

Namun, kini, selepas 18 tahun berpisah, kisah cinta mereka kembali hangat apabila Jennifer yang popular dengan nama JLo kini dilaporkan sah bergelar isteri kepada Affleck.

“Akhirnya kami melakukannya. Cinta itu amat indah. Cinta itu menyenangkan. Dan cinta itu akhirnya lambang kesabaran. 20 tahun erti kesabaran itu," tulis JLo dalam satu kenyataan dan menamakan dirinya Mrs Jennifer Lyn Affleck.

Difahamkan, majlis itu diadakan secara sederhana di Las Vegas dan pasangan yang terkenal dengan jolokan Bennifer itu melangsungkan majlis perkahwinan di sebuah gereja bersama beberapa pasangan lain.

"20 tahun penuh sabar, itu yang kami mahukan. Semalam kami ke Las Vegas dan beratur bersama pasangan lain untuk berkahwin.

"Apabila cinta itu sejati, perkara paling utama adalah perkahwinan dan perjanjian untuk saling menyayangi, memahami, sabar dan menjadi lebih baik untuk satu sama lain.

“Malam yang cukup indah buat kami," tulis Jennifer.

Walaupun perkahwinan mereka mendapat liputan luas, Ben masih mengunci mulut, tidak langsung berkongsi sebarang cerita daripada perkahwinan mengejut itu.

Untuk rekod, Ben telah melamar Jennifer sekitar April lalu ketika kedua-duanya sedang berada di dalam tandas.

Dalam pada itu, menerusi satu posting terbaru yang dimuat naik di laman Instagram @usweekly, status itu memaparkan foto Jennifer dengan busana pengantin bersama suaminya.

"Mempersembahkan Encik dan Puan Affleck! Jennifer Lopez berkongsi foto perkahwinannya dengan Ben Affleck di Las Vegas dan beberapa momen manis lain dari perkahwinan mereka.

"Puan Jennifer Lynn Affleck - J. Lo membayangkan bahawa dia akan menukar namanya selepas berkahwin dengan Ben Affleck pada hari Ahad," tulis portal berkenaan.

Imbas kembali sejarah silam pertemuan mereka, JLo dan Affleck bertemu buat pertama kali di lokasi filem Gigli pada 2002.

Pasangan berkenaan dilaporkan terjebak dengan cinta lokasi ketika itu dan dikhabarkan bertunang pada tahun sama.

Sejak dari saat itu, pasangan berkenaan dikenali sebagai 'Bennifer' iaitu gabungan nama mereka.

Namun begitu, hubungan JLo dan Affleck berhadapan dengan masalah sehinggakan mereka menunda perkahwinan yang dirancang pada 2003 sebelum menoktahkan hubungan pada Januari 2004.