HIBURAN
Justin Timberlake dedah hidap penyakit Lyme

Justin Timberlake, mendedahkan dia telah didiagnosis menghidap penyakit Lyme, yang disifatkannya sebagai “sangat melemahkan secara mental dan fizikal.” - Gambar fail Reuters
LOS ANGELES: Penyanyi dan bintang pop terkenal dunia, Justin Timberlake, mendedahkan dia telah didiagnosis menghidap penyakit Lyme, yang disifatkannya sebagai “sangat melemahkan secara mental dan fizikal.”
Perkongsian itu dibuat menerusi hantaran di akaun Instagram rasminya pada Khamis, selepas menamatkan siri jelajah Forget Tomorrow Tour di Turkiye pada Rabu.
Bintang berusia 44 tahun itu mengakui, pernah terfikir untuk menamatkan jelajah tersebut lebih awal susulan diagnosis penyakit itu, namun memilih untuk terus melawan demi peminat.
“Saya hampir batalkan jelajah ini, tetapi saya sedar kegembiraan ketika berada di pentas mengatasi tekanan dan kesakitan sementara yang dialami tubuh saya. Saya bersyukur kerana tetap meneruskannya,” tulis Timberlake, yang terkenal dengan lagu SexyBack.Penyakit Lyme disebarkan melalui gigitan kutu Ixodes atau lebih dikenali sebagai deer tick.
Ia boleh menyebabkan gejala seperti keletihan, demam, kesakitan sendi, masalah neurologi serta ruam merah berbentuk sasaran bulat.
Dalam kebanyakan kes, penyakit ini boleh dirawat berkesan menggunakan antibiotik.
Timberlake juga menyatakan penghargaan buat isterinya, pelakon Jessica Biel serta dua anak mereka, Silas dan Phin, atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh sukar itu.
“Tiada apa yang lebih kuat daripada kasih sayang kamu bertiga. Kamu adalah jantung dan rumah saya. Saya dalam perjalanan pulang,” tulisnya menyentuh hati.
Sepanjang siri jelajah itu, Timberlake beberapa kali membatalkan dan menangguhkan persembahan atas sebab kesihatan, termasuk bronkitis dan laringitis.
Enam konsert di Amerika Syarikat yang dijadualkan pada Oktober dan November lalu telah ditunda ke Februari, sebelum persembahan terakhir di Ohio terpaksa dibatalkan akibat jangkitan selesema.
Wakil Timberlake setakat ini masih belum memberikan sebarang komen lanjut kepada media.
Pada 2024, penyanyi yang memenangi 10 Anugerah Grammy itu turut menarik perhatian selepas mengaku bersalah atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk di kawasan Hamptons, New York.
Sebagai sebahagian daripada hukuman, beliau tampil dalam satu mesej keselamatan awam, menggesa orang ramai agar tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol.
Fakta mengenai penyakit Lyme
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), dianggarkan 476,000 orang di Amerika Syarikat dirawat untuk penyakit Lyme setiap tahun, berdasarkan rekod insurans kesihatan.
Antara simptom awal termasuk keletihan, demam, kesakitan pada sendi dan ruam merah berbentuk bulatan.
Rawatan awal dengan antibiotik amat penting kerana jangkitan tidak dirawat boleh menyebabkan artritis teruk, kerosakan jantung dan sistem saraf.
Sebahagian pesakit juga dilaporkan mengalami gejala berpanjangan walaupun selepas rawatan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami