IPOH: Kartunis negara, Datuk Mohammad Nor Khalid mengambarkan adiknya, Allahyarham Mamat Khalid sebagai seorang yang cukup berbakat.

Jelas beliau yang lebih dikenali sebagai Datuk Lat, sentuhan ‘magis’ pengarah tersohor itu begitu dekat dengan masyarakat luar bandar, dan ia mudah diterima.

“Dia itu memang sudah ada darah seni dalam tubuh dia. Jadi kita pun tahu dari dulu lagi, apa sahaja yang dia pegang (menghasilkan seni). Kalau dia pegang gitar… jadilah lagu. Kalau dia pegang piano, jadi lah muzik.

“Kalau dia bercerita, orang semua ketawa. Kita dalam keluarga bila dengar cerita dia, mesti ketawa. Dia pandai buat kelakar,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Masjid Paloh, di sini pada Ahad.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, 58, selamat dikebumikan sekitar pukul 2.26 petang.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Mengenang Mamat Khalid

Allahyarham Mamat menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, Perak, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada Ahad.

Bercerita lebih lanjut, Lat, 69, berkata Allahyarham adik bongsu itu begitu meminati bidang seni sejak dari kecil lagi.

Katanya, sepanjang karier seni pengarah filem Hantu Kak Limah itu, Allahyarham telah mengecapi pelbagai kejayaan hasil kerja kerasnya.

“Saya terlibat dalam seni lukis komik, dia pula seorang yang (memiliki sifat) karismatik.

“Banyak pengikut dan kalau nak jadi pengarah filem kita mesti ada karisma.

“Pada saya dia seorang yang sangat rajin, sedangkan saya kerja seorang, dia kerja beramai (pasukan produksi).

“Tetapi saya rasa dia sudah mencapai apa yang diimpikannya selama ini dan kita boleh lihat pencapaian,” ujar beliau.

Allahyarham Mamat meninggalkan isteri, Hasmah Hassan bersama lima orang anak iaitu tiga lelaki, Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa dan dua perempuan iaitu Sara dan Nurhassanah.

Antara naskhah beliau yang paling diingati ramai ialah filem Man Laksa dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.