Kamal Adli lamar Uqasha Senrose ketika siaran langsung AME 2020

Asyraf Roslan, Hilmi Malik
Disember 20, 2020 14:52 MYT
Keadaan berubah apabila Kamal mengeluarkan cincin sebelum melutut dan membuat lamaran terhadap Uqasha Senrose.
PUTRAJAYA: Pelakon Kamal Adli, 34, membuat kejutan ketika siaran langsung Anugerah Meletop Era 2020 (AME20) malam ini apabila melamar Uqasha Senrose, 28.
Terdahulu, tindakan berkenaan disangka gimik oleh penonton yang menyangka ia sebahagian daripada atur cara program.
Bagaimanapun, keadaan berubah apabila Kamal mengeluarkan cincin sebelum melutut dan membuat lamaran terhadap Uqasha.
Situasi bertambah menarik apabila Uqasha yang sebelum ini pernah digandingkan bersama Kamal menerusi beberapa siri drama menerima lamaran tersebut lalu cincin disarungkan ke jarinya.
Kamal Adli juga dilihat gementar dan mengajak semua penonton yang hadir pada malam anugerah untuk bersorak bagi memberinya semangat untuk melamar buah hatinya.
Sebelum ini, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu dikatakan sedang hangat dilamun cinta, dan mereka dilaporkan telah menghadiri kursus perkahwinan.
Bagaimanapun, Kamal dan Uqasha tidak mengesahkan perkara tersebut.
#Kamal Adli #Uqasha Senrose #lamaran #siaran langsung #AME #Anugerah Meletop Era